Ketenteraan Bukan Pilihan Selesai Tuntutan Di Laut China Selatan

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2015 9:59 PM

Hishammuddin Hussein.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyelesaian ketenteraan bukan kaedah pilihan dalam menyelesaikan isu tuntutan bertindih di rantau ASEAN, termasuk tuntutan wilayah maritim di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sebarang isu tuntutan bertindih di rantau ini perlu diselesaikan dalam konteks ASEAN dengan hubungan diplomatik dan diplomasi ketenteraan merupakan kaedah terbaik.

"Penyelesaian ketenteraan jelas tidak membawa apa-apa makna kepada kestabilan di rantau ini. 

"Saya telah menyatakan bahawa kalau pertembungan atau pertimbangan di rantau ini khususnya di Laut China Selatan tidak diselesaikan secara baik ia akan mengundang musibah yang cukup serius," katanya semasa menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang mencelah penggulungan itu untuk mengetahui pendirian kerajaan berhubung isu persaingan tuntutan terhadap wilayah perairan Laut China Selatan.

Hishammuddin berkata negara anggota ASEAN perlu mencapai persefahaman dan membentuk kesatuan dalam menyatakan pendirian bagi mendepani cabaran isu-isu penting di rantau ini yang melibatkan negara kuasa besar.

Katanya jika semua negara 'kecil' ASEAN dapat menyatakan kesatuan yang jitu melibatkan kepentingan bersama, tidak ada kuasa besar yang berani menidakkannya.

"Negara kecil seperti negara kita kalau bersendirian mungkin tidak dapat menangani isu-isu berat dalam berdepan dan melibatkan kuasa-kuasa besar, tetapi ASEAN ada 10 negara.

"Kalau ada persefahaman dan ada kesatuan yang jitu yang melibatkan kepentingan bersama ... tidak ada kuasa-kuasa besar berani menidakkan dan memperlekehkan hak kita," katanya. 

Hishammuddin berkata kejituan ASEAN bergantung kepada pembabitan semua negara anggota untuk mewujudkan persefahaman untuk kepentingan bersama.

ASEAN dianggotai Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei dan Vietnam.

Beberapa negara itu termasuk Malaysia terbabit dengan China dalam tuntutan bertindih terhadap wilayah maritim di Laut China Selatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan