Tiada Kes MERS-CoV Dikesan Di Malaysia - Dr Hilmi

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2015 9:39 PM

Dr Hilmi Yahaya.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kes Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) dikesan di Malaysia setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tetap mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan wabak itu tidak menular di negara ini.

"Kementerian juga bekerjasama dengan pihak pengurusan lapangan terbang untuk melakukan saringan kesihatan menerusi penggunaan 'thermal camera' untuk memeriksa secara teliti suhu badan setiap penumpang yang keluar dan masuk ke dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen berhenti merokok 'Traxx FM Go Blue' anjuran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen radio berbahasa Inggeris - Traxx FM di Angkasapuri di sini, Rabu.

Turut hadir Pengurus stesen radio Traxx FM, Philomena Pragasam. 

Dr Hilmi turut menasihatkan orang ramai, terutama jemaah umrah dan bakal jemaah haji, agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak daripada terkena wabak itu.

Media antarabangsa melaporkan sehingga kini 108 kes positif MERS CoV dikesan di Korea Selatan dengan sembilan kematian, dan lebih 2,800 orang dikuarantin.

Mengenai kempen berhenti merokok 'Traxx FM Go Blue', Dr Hilmi berkata stesen radio seperti Traxx FM berperanan penting dalam memupuk budaya sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dengan mewujudkan persekitaran bebas asap rokok di tempat kerja dan di rumah.

"Kajian Global Adult Tobacco Survey 2011 menunjukkan sejumlah empat daripada 10 orang dewasa Malaysia atau bersamaan 7.6 juta orang terdedah kepada asap rokok di rumah, sementara empat daripada 10 orang dewasa di Malaysia atau 2.3 juta orang dewasa terdedah kepada asap rokok di tempat kerja," katanya.

Sehubungan itu kempen berhenti merokok menerusi saluran radio adalah satu usaha yang berkesan untuk memastikan persekitaran di rumah dan di pejabat adalah bebas asap rokok, katanya.

Sementara itu, Philomena berkata mesej menerusi pelbagai aktiviti di radio dan seminar yang dianjurkan dengan kerjasama MySihat dan Kementerian Kesihatan itu bagi menggalakkan kesedaran pentingnya berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen Traxx FM Go Blue akan diadakan sepanjang tahun ini dengan termasuk mengadakan aktiviti dan seminar di sekolah, universiti dan syarikat korporat, katanya.

Tags / Kata Kunci: Mers-Cov , Dr Hilmi Yahaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan