Dua Mangsa Gempa Bumi Warga Singapura Ditemui

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2015 1:25 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan dua mangsa warga Singapura yang dilaporkan hilang dalam gempa bumi di Ranau pada Jumaat lalu telah ditemui berdasarkan pengecaman cebisan mayat yang dilakukan oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata daripada cebisan yang ditemui di Gunung Kinabalu itu, ia ditandakan satu persatu dengan kerjasama daripada DVI Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata daripada DVI itu polis mengesahkan ia adalah milik kepada mangsa yang hilang iaitu Navdeep Singh Jayrol s/o Raj Kumar, 13, dan Mohamad Ghazi Mohammed, 35.

"Cuma cebisan mayat itu tidak boleh diserahkan lagi sehingga kami buat DNA. Keluarga mangsa telah pun menghantar sample darah, lemak daripada kakak, adik ke Hospital Queen. Kami telah menghantar kepada Jabatan Kimia untuk mendapat pengesahan sepenuhnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Oleh itu, katanya operasi mencari dan menyelamat dalam Op Gempa yang bermula pada 5 Jun lalu ditamatkan hari ini berikutan penemuan itu namun pusat operasi akan dibuka semula sekiranya berlaku gegaran.

Jalaluddin berkata jumlah mangsa gempa bumi sehingga hari ini adalah 18 orang dan daripada jumlah itu - Singapura (10), Malaysia (enam), Jepun (satu) dan China (satu).

Beliau berkata, 14 daripada mayat itu sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada anggota keluarga masing-masing manakala dua mayat warga Jepun dan China belum dibedah siasat.

"Kedua-dua mayat itu akan dibedah siasat apabila keluarga mangsa sampai, yang dijangka tiba hari ini," katanya.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu merupakan gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Di SINGAPURA, Kementerian Pendidikan (MOE) republik itu mengumumkan kerajaan Malaysia telah mengesahkan dua warganya yang hilang, Navdeep Singh Jaryal dan Mohammad Ghazi antara mangsa yang terkorban di Gunung Kinabalu dalam gempa bumi yang menggegarkan Sabah Jumaat lepas.

MOE dalam kenyataan berkata waris kedua-dua mangsa telah dimaklumkan.

Mayat mangsa akan dihantar ke Singapura sebaik ujian lanjut forensik dijalankan. Ia dijangka mengambil sedikit masa.

"Kami akan terus memberi sokongan kepada keluarga mangsa dalam masa yang sukar ini," kata MOE.

MOE juga merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan pihak berkuasa lain yang menghulurkan sokongan dan bantuan serta individu yang turut tampil menyertai usaha mencari, menyelamat dan pemulihan pelajar dan guru warga Singapura.

Tags / Kata Kunci: Gunung Kinabalu , Gempa Bumi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan