PAS Cabar DAP Bubar DUN Pulau Pinang

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2015 4:39 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perbalahan antara dua sekutu pakatan pembangkang semakin tidak terkawal apabila PAS mencabar supaya DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembubaran DUN Pulau Pinang adalah wajar bagi mengukur kemampuan DAP yang disifatkan sombong dan angkuh.

"DAP jangan terlalu angkuh. Jika benar mahu tahu kekuatan sebenar DAP tanpa sokongan PAS, cubalah bubarkan DUN Pulau Pinang sekarang dan tengok jawatan mana yang DAP boleh pegang dalam kerajaan yang baharu nanti.

"Masih boleh angkuh? Masih boleh sombong? Masih boleh tamak?" katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasmi Dewan Ulama PAS Pusat.

Mengulas lanjut Ahmad Amzad menasihatkan ahli dan pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang supaya terus mempertahankan kedudukan masing-masing.

"Kita bukan mendapat jawatan atas belas kasihan DAP. Kita pegang jawatan kerana kita yang bantu naikkan mereka. Yang bermaruah adalah kita, yang sombong, angkuh dan tamak haloba adalah mereka.

"Kalau mereka nak pecat, biar mereka pecat. Kita nak tengok rupa sebenar DAP yang selama ini mengingatkan kerajaan BN (Barisan Nasional) bahawa ini adalah kerajaan rakyat, harta rakyat, bukan milik Umno, bukan milik BN.

"Begitu juga Pulau Pinang, ini milik rakyat, harta rakyat, bukan milik pusaka Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bukan milik DAP," katanya.

Ahmad Amzad berkata demikian bagi mengulas mengenai gesaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP supaya pemimpin dan ahli PAS melepaskan pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri pimpinannya.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu adalah individu pertama mengumumkan perletakan jawatan sebagai Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.

Keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat.

Turut mengikut jejak Mohamad ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengumumkan peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

Tags / Kata Kunci: PAS , DAP , DUN Pulau Pinang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan