Gempa Sabah: Masa Depan Malim Gunung Jadi Tanda Tanya

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2015 3:12 PM

Malim gunung turut terlibat dalam misi mencari mangsa yang masih belum ditemui.

(Ubah saiz teks)

KUNDASANG: Walaupun mereka melakukan pendakian 7 kilometer (km) sehari di Gunung Kinabalu untuk membantu misi mencari mangsa gempa bumi pada Jumaat lalu yang masih belum ditemui, malim gunung bimbang mengenai masa depan mereka.

Malim gunung veteran seperti Rahili Supilin menjangkakan tiada pekerjaan untuk tempoh yang lebih lama walaupun semua aktiviti pendakian dihentikan selama tiga minggu berikutan kerosakan kemudahan di Gunung Kinabalu.

Rahili antara 250 penduduk tempatan dari kampung berdekatan sekitar Kundasang dan Ranau yang bergantung pendapatan bekerja sebagai pemandu arah untuk pendaki.

Bagi sesetengah keluarga, ia adalah kehidupan yang bermula beberapa dekad lalu dan diturunkan kepada generasi daripada datuk kepada bapa dan kini diteruskan oleh anak lelaki mereka.

Pemandu arah boleh memperoleh pendapatan bermula dari RM850 sehingga RM1,500, membimbing kumpulan pendaki kira-kira lima kali sebulan.

Kebanyakan mereka terdiri daripada lelaki yang berusia seawal 18 tahun dan ada di kalangan pemandu arah mencecah usia lebih 60 tahun.

Seramai 10 orang daripada pemandu arah merupakan golongan wanita.

Kesemua 250 malim gunung ini didaftarkan dengan Persatuan Pemandu Arah Gunung Kinabalu dan bertindak sebagai pemandu arah pendaki dengan bayaran RM175 bagi setiap pendakian.

Rahili yang juga timbalan presiden persatuan tersebut berkata, kebanyakan malim gunung bergantung sepenuhnya terhadap aktiviti pendakian untuk menyara keluarga mereka.

"Kami memerlukan wang daripada bayaran sebagai pemandu arah untuk menyara kehidupan. Ia adalah sesuatu yang kita fikir boleh dijadikan tempat bergantung untuk cari makan," kata Rahili yang juga bapa kepada enam anak itu.

Beliau berkata kebanyakan malim gunung berharap untuk terlibat dalam kerja pembersihan kawasan pergunungan itu atau mencari laluan baharu untuk menggantikan  laluan yang rosak disebabkan gempa bumi itu.

"Mungkin akan ada beberapa pendapatan di sana dan kami berharap boleh terlibat untuk mengembalikan situasi normal di kawasan pergunungan itu," kata Rahili.

Malah, Mhd Rizuan Kauhinin, 25, yang diangkat sebagai wira selepas gambarnya mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang cedera menjadi viral di media sosial turut tidak pasti mengenai masa depannya.

Mhd Rizuan berkata beliau perlu mempertimbangkan untuk mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kehidupannya.
Tags / Kata Kunci: malim gunung , masa depan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan