FWCMS: Modul Bio-Perubatan & eVDR Dilaksanakan Sepenuhnya 16 Jun

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2015 3:46 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Modul bio-perubatan dan permohonan secara elektronik bagi Visa dengan Rujukan (eVDR) dalam Sistem Pengurusan Setempat Pekerja Asing (FWCMS) akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen sepenuhnya mulai 16 Jun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan tiada sebarang caj perkhidmatan tambahan dikenakan bagi modul eVDR.

"Tiada lagi permohonan secara manual di kaunter imigresen dan penggunaan modul eVDR diwajibkan termasuk pembelian insurans untuk pekerja asing yang merupakan platform permohonan surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mustafa berkata, semua kaunter manual imigresen akan dibuka dalam tempoh peralihan selama 15 hari sehingga ia ditutup sepenuhnya pada 1 Julai depan.

Beliau menambah, semua pekerja asing hendaklah melalui pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik yang mempunyai kemudahan bio-perubatan untuk pengesahan biometrik terhadap bakal pekerja asing bagi tapisan keselamatan dan juga mengesahkan pekerja tersebut merupakan individu sebenar yang memohon sebelum dibuat pemeriksaan kesihatan.

"Maklumat nombor telefon bimbit dan alamat emel majikan hendaklah dibuat semakan oleh semua majikan dalam sistem Jabatan Imigresen bagi memastikan kesahihan data," kata Mustafa.

Pada 30 Januari lalu, pelaksanaan modul bio-perubatan dan permohonan secara elektronik bagi eVDR dalam FWCMS yang dikuatkuasakan pada 15 Januari ditangguhkan serta-merta.

Penangguhan itu bagi memberi laluan kepada Jabatan Imigresen dan KDN untuk meneliti dan memperhalusi dasar-dasar yang berkaitan serta memberi ruang kepada mereka mengkaji semula pandangan dan maklum balas daripada orang ramai khususnya majikan.

Tags / Kata Kunci: Jabatan Imigresen , FWCMS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan