Najib Pantau Perkembangan Insiden Gempa Bumi Di Sabah

Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2015 8:27 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Meskipun dalam kesibukan jadual padat sempena lawatan ke Arab Saudi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap mengikuti perkembangan insiden gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah.

Najib, dalam catatan terbaru di Facebook beliau pada Ahad, berkata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, kini berada di Sabah untuk memantau situasi dan mengurus tadbir operasi di negeri itu.

"Walaupun saya kini berada di Jeddah untuk lawatan rasmi, menteri-menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi kerajaan yang terlibat dengan kerja menyelamat dan pemantauan keadaan di Sabah sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada saya.

"Insya-Allah, bersama-sama mereka yang ada di sini, solat hajat akan diadakan malam ini. Moga Allah SWT memelihara rakyat Malaysia terutamanya di Sabah dan memudahkan usaha menyelamat," katanya.

Najib tiba di Jeddah pada Sabtu malam dan diberi sambutan rasmi oleh perwakilan Arab Saudi yang diketuai Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Naif al-Saud di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz al-Saud.

Najib turut memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan untuk mencari dan menyelamat semua yang masih terkandas di kawasan pergunungan (Gunung Kinabalu).

"Saya berasa sedih membaca laporan kejadian gempa bumi yang berlaku di Sabah. Begitu ramai nyawa yang terkorban, infrastruktur dan bangunan yang mengalami kerosakan. Ada juga masih belum dijumpai," kata Najib.

Beliau turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam gempa bumi Jumaat lepas.

Mengenai 23 bangunan sekolah dan infrastruktur seperti jalan raya yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi, Najib berkata, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah akan memantau, menyediakan laporan dan mengambil tindakan segera untuk memastikan kesemua ini diperbaiki secepat mungkin demi keselesaan masyarakat terutamanya pelajar di Sabah.

Menurutnya, anggota serta aset Angkatan Tentera Malaysia berada pada keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan manakala Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terdiri daripada paramedik, jurutera dan penyelamat juga digerakkan bagi membantu dalam apa bentuk sekalipun.

"Saya harap semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa atau agama akan terus berdoa untuk keselamatan rakyat Sabah," katanya.

Setakat ini, 16 orang disahkan terkorban dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat lepas iaitu gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu disusuli gegaran kecil yang turut dirasai di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Tags / Kata Kunci: gempa Sabah

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan