MERS-CoV: Rakyat Dinasihat Elak Lawat Korea Selatan

Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2015 2:31 PM

Dr Hilmi Yahaya.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Rakyat Malaysia dinasihat supaya tidak melancong ke Korea Selatan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).

Namun Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sehingga kini kerajaan tidak mengenakan larangan ke Korea Selatan atau menghalang pelancong dari sana untuk memasuki Malaysia.

"Kita pantau di tiap-tiap pintu masuk antarabangsa di lapangan terbang. Jika didapati suhu badan (pelancong) tinggi, serta-merta kita akan tarik mereka untuk buat pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tanpa Tembakau peringkat negeri di sini Ahad.

Beliau berkata jangka waktu inkubasi virus berkenaan biasanya mengambil masa tiga minggu dan mereka yang mengalami simptom seperti demam perlu melaporkan perkembangan kesihatan kepada hospital dengan segera.

"Walaupun semasa baru pulang (dari Korea Selatan) mereka tidak demam, tetapi dalam tempoh tiga minggu, kalau mereka terima apa-apa simptom, mereka perlu lapor kepada hospital dan buat ujian darah," katanya.

Dr Hilmi berkata Kementerian Kesihatan telah mengambil pelbagai langkah kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan penularan MERS-CoV.

Tiada jangkitan terbaru dilaporkan setakat ini.

Menurut laporan media tempatan di Seoul, sejak kes MERS-CoV dikesan pada 2 Jun lalu sehingga Jumaat lepas, 41 kes disahkan positif dengan empat kematian, manakala jumlah penduduk yang dikuarantin mencecah 1,660 orang.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penularan MERS-CoV di Korea Selatan berpunca daripada kegagalan memastikan prinsip pencegahan dan kawalan jangkitan dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat penjagaan perubatan serta kesihatan.

Mengenai sambutan Hari Tanpa Tembakau, Dr Hilmi berkata secara purata hanya 18 peratus daripada perokok yang mengikuti program pemulihan di 480 klinik berhenti merokok seluruh negara berjaya meninggalkan tabiat itu sepenuhnya.

Beliau berkata 23 peratus daripada populasi rakyat Malaysia adalah perokok dengan diangar 50 hingga 60 remaja mula merokok setiap hari.

Justeru itu, katanya kementerian menerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Mysihat) memulakan inisiatif bandar bebas asap rokok yang telah dimulakan di negeri Melaka, Johor dan Pulau Pinang dengan bakal disertai Kelantan serta  Terengganu tidak lama lagi.

"Saya percaya program sebegini boleh merangsang golongan perokok dari segenap lapisan masyarakat untuk menghentikan sebarang amalan merokok," katanya.

Tags / Kata Kunci: MERS-CoV , Korea Selatan

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan