Gempa Sabah: 104 Pendaki Dibawa Turun Dari Laban Rata

Diterbitkan: Sabtu, 6 Jun 2015 8:27 AM

Anggota Bomba dan Penyelamat serta malim Gunung Kinabalu mengusung mayat mangsa pertama runtuhan gempa bumi dari Kilometer 6.5 Gunung Kinabalu ke Timpohon Gate pada Jumaat. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

RANAU: Sebanyak 104 lagi pendaki sedang dibawa turun oleh petugas keselamatan dari Laban Rata, kata Petugas Taman-Taman Sabah Justinus Guntabid.

Justinus berkata, kesemua mereka dibawa turun pada 9.15 malam Jumaat.

"Pada 10.04 malam, satu pasukan penyelamat yang terakhir membawa seorang lagi mangsa (pendaki) yang berada dalam keadaan stabil.

"Sekarang, petugas kami masih berada di Pondok Timpohon untuk menunggu pendaki yang sedang dalam perjalanan turun," katanya ketika ditemui di Pusat Gerakan Operasi Menyelamat di Taman Kinabalu di sini.

Justinus berkata, petugas akan merekodkan pendaki yang telah sampai ke Pondok Timpohon bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti pendaki yang belum dibawa turun.

Ditanya mengenai dua mayat dibawa turun ke Pondok Timpohon, Justinus berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Katanya seorang mangsa adalah malim gunung Robbi Sapinggi, manakala seorang lagi belum dapat dipastikan identitinya.

Kedua-dua mayat dibawa turun pada 8.25 dan 8.45 malam. 

Mayat berkenaan dikeluarkan daripada kawasan runtuhan iaitu 6.5 kilometer dari Pondok Timpohon.

Tags / Kata Kunci: gempa sabah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan