PGA Kawal Kawasan Kem Tahanan Lubuk Sireh Bagi Operasi Menggali

Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 9:16 PM

Kawasan kem tahanan Lubuk Sireh, Perlis dikawal oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membolehkan kerja-kerja fasa kedua menggali kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia dijalankan di Ban Talok.

(Ubah saiz teks)

PADANG BESAR: Kawasan kem tahanan Lubuk Sireh (Perlis) dikawal rapi Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membolehkan kerja fasa kedua menggali kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia dijalankan. 

Media Malaysia yang melakukan tinjauan melalui laluan Ban Ta Lok di sini mengambil kira-kira sejam untuk mendaki bukit sebelum sampai di batu sempadan Malaysia yang dipagar dengan kawat duri.

Dari batu sempadan itu, kedengaran bunyi pokok ditebang apabila kumpulan media semakin menghampiri hutan simpan Perlis itu yang dikatakan menjadi laluan pihak forensik dan polis bagi memasuki kawasan kem transit berkenaan.

Namun kehadiran 10 wartawan itu disedari anggota PGA yang sedang bertugas dan mereka dinasihatkan supaya keluar dari kawasan tersebut dan turut diiringi keluar sehingga ke batu sempadan.

Seorang pegawai PGA yang enggan dikenali berkata keseluruhan kawasan berkenaan dari batu sempadan Thailand di Ban Ta Lok hingga kaki bukit Wang Kelian merupakan kawasan larangan.

 "Media tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan dan kawasan ini adalah kawasan larangan," katanya yang mengiringi media keluar.

Operasi menggali fasa kedua dijangka bermula pada Rabu namun menurut pegawai PGA tersebut, pihaknya kini dalam proses mendirikan kem sementara untuk pasukan pertugas forensik dan polis.

Menurutnya operasi menggali dijangka selesai sebelum 8 Jun ini.

Pada sebelah pagi, kumpulan media berkumpul di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar bagi meninjau persiapan pasukan polis dan forensik bagi operasi menggali, bagaimanapun mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

Tinjauan di IPD Padang Besar pada pukul 9 pagi mendapati pihak polis sedang memuat peralatan menggali dan keperluan asas ke dalam enam buah kenderaan 'Landrover Defender' sebelum bertolak melalui pintu sempadan Thailand di Padang Besar. 

Perjalanan dari kaki bukit melalui perkampungan Ban Ta Lok mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke sempadan Malaysia-Thailand yang akan digunakan polis Malaysia untuk operasi menggali.

Sebelum ini pihak polis mendedahkan satu lagi kem transit kedua yang dikatakan yang terbesar terletak di hutan simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh dan mereka turut mengenal pasti 91 buah kubur di kawasan tersebut.

Laluan ke kem itu dikatakan lebih mudah melalui pintu Thailand kerana kawasannya terletak hanya kira-kira 100 meter dari sempadan dan tidak securam laluan di Wang Kelian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan