Ulama Mahu PAS Kaji Semula Kerjasama Dengan DAP-PKR

Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 6:18 PM

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang menghangatkan Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 yang berlangsung pada Rabu.

Rata-rata perwakilan sayap kanan PAS itu memberi tekanan supaya mengkaji semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat.

Perwakilan Pulau Pinang, Ahmad Hanif Mohd Haron berkata, pengalaman PAS berada dalam kerajaan pimpinan DAP di negeri berkenaan cukup untuk membolehkan kajian semula kerjasama politik dilakukan.

"Saya dari Pulau Pinang, negeri yang diperintah oleh DAP dan PKR tapi PAS disisihkan.

"Nilai semula tahaluf siyasi yang kita dah amalkan. Pulau Pinang ada pengalaman sendiri yang boleh dikongsikan bahawa tahaluf siyasi perlu dikaji. 100,000 peratus bahawa perlu menilai (semula) apa (kerjasama politik) yang sudah dilaksanakan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat di sini, Rabu.

Sementara itu perwakilan Sabah, Mohamad Soib berkata, PAS negeri itu akan terus memperjuangkan Islam walaupun tidak bersama DAP dan PKR.

"Kalau dahulu kita ada tujuh kawasan sahaja, hari ini kita ada lapan kawasan yang berdaftar. Dahulu Dewan Ulama pernah bermesyuarat bawah pokok pisang.

"Tapi InsyaAllah saya yakin orang muda akan bersama-sama dengan kita di negeri Sabah, walaupun tanpa PKR dan juga DAP yang telah buang kita. Kita tetap berjuang untuk Islam," katanya.

Sebelum ini DAP dan PKR memutuskan hubungannya dengan PAS di Sabah susulan ketegasan parti Islam itu meneruskan pelaksanaan hudud di negara ini.

Terdahulu Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika menyampaikan ucapan dasar memberi bayangan bahawa kerjasama politik antara parti itu dengan DAP bakal berakhir susulan tindakan berterusan sekutu pembangkang itu memberi tekanan terhadap PAS.

Katanya tindakan campur tangan DAP khususnya ketika PAS berhadapan pemilihan parti dianggap melanggari syarat kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Tags / Kata Kunci: PAS , DAP , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan