'Cai' Dewan Ulama Tolak Ahmad Awang, Mat Sabu

Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 4:09 PM

Senarai calon pilihan Dewan Ulama PAS yang dikeluarkan sebagai persiapan awal menjelang pemilihan peringkat Pusat di Kuala Selangor, Khamis.

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Dewan Ulama PAS mengakui mengeluarkan senarai pilihan atau 'Cai' bagi jawatankuasa tertinggi di peringkat Pusat yang menyaksikan sayap kanan parti itu menolak Ahmad Awang sebagai calon Presiden.

Menerusi senarai itu, dewan berkenaan juga secara terbuka mahu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggantikan kedudukan Mohamad Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden PAS.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bagaimanapun menafikan senarai berkenaan sebagai cubaan Dewan itu untuk mempengaruhi perwakilan PAS.

“Bagi kita, mereka boleh meneruskan perjuangan PAS, mereka memang sesuai untuk dibawa ke depan menjadi pemimpin parti.

“Maka itu adalah sebahagian penjelasan kita kepada ahli. Tak timbul isu mempengaruhi tapi itu cara kita kemukakan mereka yang dirasakan mampu untuk ikut dasar parti.

“Kita tak nafikan orang lain juga berkemampuan, tapi kita ketengahkan yang mampu bawa aspirasi Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini, Rabu.

Sejak awal hari ini, Dewan Ulama PAS Pusat menerusi akaun rasmi Facebook mereka memuat naik senarai cadangan calon pilihan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dalam pemilihan kepimpinan baharu PAS yang akan berlangsung esok di Kuala Selangor.

Turut disebarkan di media sosial ialah info grafik senarai pilihan bagi dua kumpulan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pencabarnya, Ahmad.

Selain itu, kepimpinan Ulama turut mencadangkan supaya perwakilan memilih Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Iskandar Samad dan Idris Ahmad bagi jawatan Naib Presiden PAS.

Antara pemimpin yang sering dikaitkan dengan kumpulan pro Pakatan Rakyat disenaraikan dalam kumpulan Ahmad ialah, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mohd Hatta Ramli, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad dan Dr Siti Mariah Mahmud.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan