MAB Kekal Syarikat Penerbangan Perkhidmatan Penuh

Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 9:31 PM

Christoph Mueller

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysian Airlines Bhd (MAB) akan kekal sebagai syarikat penerbangan antarabangsa perkhidmatan penuh, mengekalkan laluan domestik Malaysia Airlines (MAS) sekarang dan 'tulang belakang' serantau dengan hubungan meluas di seluruh dunia menerusi perkongsian, kata Khazanah Nasional Bhd.

Khazanah, pemegang saham terbesar syarikat penerbangan nasional itu berkata rangkaian MAB akan menyediakan perkhidmatan antara lainnya ke pasaran ASEAN,China, India dan domestik dan ke destinasi antarabangsa utama di Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, United Kingdom dan Arab Saudi.

"Rangkaian itu juga akan mempunyai capaian meluas ke Afrika, AmerikaSyarikat dan Eropah menerusi potensi perkongsian yang sedang ditimbangkan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ia berkata dalam membina ikon nasional baharu, syarikat penerbangan itu akanmenampilkan jenama Malaysia dan prospek yang serba baharu, kumpulan kapal yang masih baharu dan penawaran premium yang menyokong reputasi perkhidmatan yang memenangi anugerah. 

Khazanah berkata konsep katering baharu dengan ramuan dan kualiti terbaikserta ringkas akan diperkenalkan bagi memenuhi kehendak pelanggan untuk memastikan mereka menikmati pengalaman penerbangan yang menarik. 

Ia berkata syarikat penerbangan nasional itu juga berhasrat menjadi 'majikan pilihan' dan terus memantapkan struktur latihan dan pembangunan kakitangan dalamannya untuk menjadi inkubator tenaga kerja utama bagi negara.  

Khazanah berkata pelan pemulihan 12 perkara sedang mencatatkan kemajuan ketara termasuk penstrukturan semula tenaga kerjanya ketika langkah penyusunan semula syarikat penerbangan itu memasuki fasa kritikal. 

Lebih 14,000 kakitangan MAS ditawarkan pekerjaan dalam syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB), dengan sebahagian besar menerima tawaran pekerjaan sepenuh masa dan selebihnya ditawarkan pekerjaan kontrak bagi pelbagai tempoh. 

"Penstrukturan semula tenaga kerja dimulakan selepas proses pemilihan pekerja yang terperinci dan bersistematik," kata syarikat itu. 

Khazanah berkata kakitangan yang menamatkan perkhidmatan dengan MAS pada 31 Ogos akan menerima pakej penamatan perkhidmatan yang termasuk pembayaran berdasarkan kepada formula yang sama di bawah Perjanjian Kolektif di MAS, dan latihan percuma serta perkhidmatan penempatan di Pusat Pembangunan Korporat (CDC). 

Pusat itu telah mengenal pasti lebih 12,000 peluang pekerjaan yang tersedia kepada kakitangan. 

"Pembayaran dan manfaat yang disediakan kepada kedua-dua kakitangan yang menyertai MAB dan yang meninggalkan MAS berjumlah sehingga RM1.5 bilion," kata syarikat itu.

Khazanah berkata oleh kerana syarikat penerbangan itu melaksanakan rasionalisasi laluan, laluan tidak menguntungkan terpilih, iaitu Kunming,Frankfurt, Krabi dan Cochin, telah digantung dengan rasionalisasi laluan seterusnya sedang dipertimbangkan. 

"Pada masa hadapan, syarikat penerbangan nasional itu akan menjadi lebih komersial di samping menyokong objektif pembangunan nasional, menyediakan hubungan yang lebih meluas menerusi perkongsian dan menawarkan produk premium baharu," kata syarikat itu. 

Satu lagi kejayaan yang dicapai ialah memeterai dua perjanjian kateringbaharu dengan Brahim's Airline Catering Sdn Bhd (BAC) pada 10 Mei lepas yang ditanda aras berbanding standard antarabangsa dan berdasarkan kepada amalan terbaik industri. 

Perjanjian katering baharu itu menyediakan perjanjian tahap perkhidmatan ketat dan petunjuk prestasi utama yang perlu dipatuhi, harga yang lebih baik, bukan eksklusif dan tempoh yang lebih pendek, berbanding dengan perjanjian katering sebelum ini. 

Dua kontrak berasingan itu yang merangkumi penerbangan 'Pesawat Badan Lebar'dan 'Pesawat Badan Sempit' adalah bagi tempoh awal lima tahun dan tambahan pembaharuan lima tahun tertakluk kepada syarat-syarat ketat termasuk BAC memenuhi KPI kritikal. 

Sementara itu, mengenai peralihan MAB daripada MAS, Khazanah berkata Christoph Mueller dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS pada 1 Mei dalam satu peralihan kepimpinan yang pantas. 

"Peralihan pantas itu membolehkan Mueller menerajui keseluruhan usaha penyusunan semula MAS ketika ia memasuki satu daripada fasa paling kritikal,"kata syarikat itu.

Mueller juga mengambil alih tugas sebagai Ketua Pegawai Komersial pada 1 Jun, susulan peletakan jawatan Pengarah Komersial Dr Hugh Dunleavy berkuat kuasa pada 31 Ogos.

Khazanah berkata di bawah Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2015, Datuk Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai Pentadbir MAS untuk memudahkan pindahan aset dan liabiliti terpilih berkuat kuasa 1 September. 

Komitmen RM6 bilion bagi pembiayaan pelaburan bersyarat daripada Khazanah kepada kedua-dua MAS dan MAB akan dikeluarkan secara berperingkat tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang perlu dipenuhi. 

Khazanah berkata Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 juga diluluskan oleh dewan rakyat dan dewan negara pada April 2015 bagi penubuhan sebuah suruhanjaya penerbangan. 

Ia berkata fungsi-fungsi suruhanjaya itu, antara lainnya, menyelia perkara-perkara ekonomi berkaitan dengan industri penerbangan awam, menyediakan mekanisme perlindungan pengguna dan bagi penyelesaian pertikaian antara penyedia perkhidmatan penerbangan. 

Suruhanjaya itu juga akan mentadbir, memperuntukkan dan menguruskan haktrafik udara, memantau peruntukan slot bagi syarikat penerbangan atau pengendali pesawat lain dan mentadbir serta menguruskan obligasi perkhidmatan awam. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan