Kelantan Susun Semula Pelan Pembangunan Tok Bali

Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 2:29 PM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Kerajaan negeri Kelantan akan menyusun kembali pelan tindakan pembangunan bandar baharu perikanan Tok Bali di sini, menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam usaha menarik pelaburan bernilai RM1 bilion dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata Perbadanan Pembangunan Tok Bali diberi tanggungjawab bagi program penyusunan semula itu dengan menggerakkan agensi berkaitan seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Selepas penyusunan itu, pihak berkaitan akan diminta memainkan peranan masing-masing untuk memajukan kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah Menengah Arab Nurul Falah di Cherang Ruku di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pelbagai pihak berhubung proses pembangunan bandar baharu itu yang perlahan dan tidak menepati pelan perancangan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik sebagai berkata projek pembangunan pelabuhan Tok Bali dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mustapa berkata sehingga kini terdapat kira-kira 100 syarikat yang berpotensi untuk melabur dalam projek berkenaan dan ia dijangka memberi manfaat kepada kawasan sekitar serta Kelantan secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pembangunan itu mengambil masa kerana kerajaan negeri perlu mengatasi pelbagai kekangan termasuk Pelabuhan Tok Bali yang sehingga kini belum lagi mendapat status pelabuhan dan hanya berfungsi sebagai 'supply base' sahaja.

Dalam pada itu, katanya kerajaan perlu merancang barangan yang perlu dieksport termasuk getah dan kelapa sawit serta barangan yang perlu diimport.

"Kalau ada eksport sahaja sudah tentu tidak menguntungkan, sebaliknya perlu ada tindak balas," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kelantan , Tok Bali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan