Sempadan, Perairan Negara Mudah Dibolosi

Diterbitkan: Ahad, 31 Mei 2015 2:35 PM

Sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Kelantan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu sempadan dan perairan negara yang mudah dibolosi pihak dan anasir luar boleh menjadi 'bom jangka' terhadap  keselamatan negara jika gagal ditangani segera, menurut penganalisis dan pakar aspek keselamatan.

Menurut mereka, kerajaan perlu mengkaji, mengambil pendekatan baharu dan membuat penambahbaikan terhadap kawalan keselamatan di sempadan seperti membina sekatan, benteng, pagar dan menggunakan teknologi terkini 'drone' untuk pengawasan.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Datuk Kamaruddin Md Ali berkata langkah keselamatan di kawasan sempadan dan perairan negara dilihat tidak begitu berkesan selepas peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas.

"Sebelum peristiwa serangan di Lahad Datu, warga Filipina boleh datang pada bila-bila masa tanpa sebarang sekatan manakala rondaan pasukan keselamatan di sempadan utara tanah air juga tidak begitu berkesan susulan masih ada lorong-lorong tikus yang membolehkan rakyat Malaysia dan Thailand keluar masuk.

"Kerajaan harus meneruskan projek memagar kawasan sempadan (darat) dengan menggunakan tambahan alat teknologi seperti pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) dan pemerhatian dengan peralatan drone dengan kadar segera," katanya.

Kamaruddin berkata kegagalan kawalan kawasan sempadan darat semakin jelas dengan kes terbaru penemuan 28 kem sementara yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia dan 139 kubur mangsa terbabit di Bukit Wang Burma di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.

"Anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan hendaklah daripada mereka yang benar-benar jujur, amanah serta bertanggungjawab (bagi mengelakkan penyelewengan dan bekerjasama dengan sindiket)," katanya.

Selain kemasukan pendatang tanpa izin dan pelarian melalui jalan darat, Malaysia turut berdepan masalah sama melibatkan laluan laut. Pada 10 Mei lepas sebanyak 1,158 pendatang dari Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat di Langkawi.

Lebih 7,000 lagi pendatang dan pelarian dikatakan berada di laut dalam usaha untuk mendarat di Malaysia.

Di Sabah pula berhadapan dengan pencerobohan puak militan dari selatan Filipina.

Walaupun kerajaan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai usaha keselamatan susulan pencerobohan di Lahad Datu, kes-kes penculikan di kawasan itu yang dipercayai melibatkan penjenayah dari Filipina terus berlaku.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Ayub Yaakob berkata kawalan keselamatan di sempadan kurang berkesan mungkin kerana terdapat banyak agensi penguatkuasaan yang fungsinya bertindih di samping kurang penyelarasan serta mempunyai dasar dan keutamaan berlainan.

Setiap agensi terbabit yang mempunyai komander masing-masing turut berdepan kekangan kekurangan sumber, anggota, logistik dan sistem dan mereka kurang berkongsi sumber serta maklumat dan beroperasi secara sendirian, katanya.

"Kerajaan perlu meletakkan tanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri kepada polis dan tentera terhadap serangan asing. Imigresen, kastam, perhutanan dan lainnya akan beroperasi di bawah satu pengurusan ketumbukan sempadan di bawah polis," katanya.

Ayub berkata ketua polis di negeri-negeri di sempadan patut dijadikan komander yang bertanggungjawab untuk mengetuai dan menyelaraskan semua operasi dan aktiviti di sempadan masing-masing.

"Rondaan keselamatan sempadan patut dijalankan oleh polis dan bila perlu, dibantu oleh tentera. Kem-kem dan pejabat-pejabat kekal patut dibina bagi memastikan pentadbiran efisien dan kebajikan staf dijaga.

"Gajet moden dan efektif perlu dipasang seperti pagar yang sesuai dan dilengkapi sistem keselamatan terkini yang boleh melakukan pengawasan dengan berkesan dan sistematik. Penguatkuasa perlu dilakukan tanpa kompromi dengan keselamatan negara menjadi nombor satu," kata Ayub.

Penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berkata kerajaan perlu melihat balik dan membuat penambahbaikan terhadap kelemahan yang wujud di sempadan negara seperti dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis yang merupakan kawasan hutan dan berpotensi menjadi sasaran laluan merentasi sempadan tersembunyi oleh pendatang tanpa izin.

"Peranan pegawai gerak khas yang menjaga sempadan dan unit pencegah penyeludupan perlu dikaji semula agar ditubuhkan satu unit baharu bagi memantapkan pengawasan dan perkongsian input serta meningkatkan kemahiran risikan agensi penguat kuasa," katanya.

Tags / Kata Kunci: Lahad Datu , Esscom

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan