Duta Amerika Berbasikal Ke Singapura Demi Alam Sekitar

Diterbitkan: Ahad, 31 Mei 2015 7:14 PM

Yun mengetuai kayuhan sejauh 411km ke Singapura.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Walaupun terdapat cara lebih mudah untuk mencapai hasratnya, namun Joseph Y.Yun memilih menunggang basikal sejauh 411km dari Putrajaya ke Singapura untuk bertemu orang ramai bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan memulihara alam sekitar.

Dengan berpakaian baju T berwarna biru terang, hijau dan kelabu serta seluar pendek berwarna hitam, Duta Besar Amerika di Malaysia itu dengan penuh bersemangat memulakan kayuhannya pada 8.30 pagi Ahad dari Pullman Hotel di sini bagi tujuan itu.

Yun mengetuai sekumpulan 15 warga kedutaan itu bersama anggota keluarga masing-masing dalam penjelajahan enam hari dengan menunggang basikal bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun. Pengembaraan mereka dijadual berakhir di Singapura pada tarikh itu.

"Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur telah mengambil pelbagai langkah sejak beberapa tahun lepas bagi mengurangkan penggunaan tenaga. 'Pasukan Hijau' kedutaan kami, dengan moto 'Go Green Lah', sentiasa mencari cara inovatif untuk mewujudkan kedutaan yang lebih hijau dan lebih mesra alam.

"Melalui inisiatif tersendiri ini, kami ingin mewujudkan contoh bagaimana orang ramai boleh digalak meningkatkan kesedaran mereka ke arah mencapai matlamat seperti mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran udara dan pengeluaran gas rumah hijau," katanya kepada Bernama sebelum meninggalkan hotel itu bersama kumpulannya.

Yun berkata mereka memilih acara basikal bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memulihara alam sekitar dan untuk meraih pengalaman unik.

Yun dan pasukannya, yang melakukan senaman sebelum memulakan perjalanan, diberi tepukan dan kata-kata semangat oleh petugas kedutaan itu serta keluarga dan sahabat handai mereka dalam suasana penuh meriah.

Menurut kenyataan kedutaan itu, Yun dan anggota pasukannya, yang diiringi empat anggota polis trafik, menggunakan basikal sendiri dan akan singgah di enam tempat sepanjang perjalanan mereka.

Mereka akan pulang ke Kuala Lumpur sama ada dengan kereta atau penerbangan. Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia adalah inisiatif utama Pertubuhan Bangsa

Bersatu untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan warga dunia berhubung pemuliharaan alam sekitar.

Ia disambut di lebih 100 negara.

-- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Duta Amerika

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan