Thailand Gesa Usaha Bersepadu Tangani Masalah Pendatang

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 5:38 PM

Tanasak Patimapragorn

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Thailand, pada Jumaat menggesa bagi usaha bersepadu oleh semua negara berkaitan - negara asal, transit dan destinasi - bagi menyelesaikan masalah apa yang dirujuk sebagai kebanjiran pendatang tanpa izin di Lautan Hindi.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Thailand Jen Tanasak Patimapragorn berkata kehadiran banyak pendatang tanpa izin di Lautan Hindi telah mencecah tahap amat membimbangkan dan menjejaskan beberapa negara di rantau ini.

Tiada negara dapat menyelesaikan masalah ini secara bersendirian, katanya semasa merasmikan Mesyuarat Khas mengenai Pendatang Tanpa Izin di Lautan Hindi, di sini.

"Ia juga memerlukan tempoh masa dan kerjasama antarabangsa untuk menangani masalah ini secara komprehensif dalam semangat berkongsi bebanan antarabangsa. Kita perlu saling bekerjsama," katanya pada persidangan multinasional itu.

Tanasak tidak menyebut Rohingya atau warga Bangladesh untuk merujuk kepada pendatang tanpa izin itu.

Beliau berkata Thailand mengambil inisiatif menganjurkan mesyuarat ini dengan tiga objektif utama: pertama, untuk menangani segera situasi kemanusiaan pendatang tanpa izin yang terkandas; keduanya, untuk memerangi masalah jangka panjang pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk mencegah aktiviti itu daripada berleluasa; dan, ketiganya untuk menangani punca masalah itu.

Tanasak berkata minggu lepas, Thailand, Indonesia dan Malaysia telah mengumumkan hasrat untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pendatang yang berada di laut.

Malaysia dan Indonesia juga menawarkan pelindungan sementara kepada pendatang yang terkandas dengan syarat proses penempatan dan penghantaran pulang akan dilakukan dalam masa setahun oleh masyarakat antarabangsa.

Thailand pula sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pendatang terbabit "dengan menggandakan usaha kami", katanya.

Sejak 26 Mei 26, kapal-kapal Tentera Laut Diraja Thailand telah dikerahkan untuk bertindak sebagai 'platform terapung' untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pendatang berkenaan di laut, katanya.

Tanasak berkata kru kapal terapung itu terdiri daripada pasukan perubatan untuk memberikan rawatan, makanan dan air; pasukan penyiasat untuk menyiasat kemungkinan aktiviti pemerdagangan manusia; dan pasukan pendaftar untuk mengenal pasti dan menyediakan penyelesaian sewajarnya, termasuk dirujuk ke penempatan yang disediakan Indonesia dan Malaysia.

Sekiranya pendaratan amat diperlukan, pendatang berkenaan akan diberi rawatan terlebih dahulu mengikut prinsip kemanusiaan di bawah undang-undang Thailand, katanya.

Beliau berkata Thailand juga telah mengerahkan rondaan udara dilakukan Tentera Laut Diraja Thailand dan Tentera Udara Diraja Thailand untuk memantau pergerakan di perairan Thailand, berhampiran kawasan dan perairan antarabangsa untuk membantu misi kemanusiaan, mengikut kemampuannya.

Beliau mengalu-alukan negara lain yang berminat untuk turut serta, di bawah penyelarasan Thailand.

Thailand kini mempunyai kira-kira 130,000 pelaraian di bawah jagaannya, dan ia turut menjadi hos kepada kumpulan-kumpulan lain termasuk kira-kira 600 pendatang tanpa izin maritim, katanya.

Tanasak berkata penghijrahan pendatang tanpa izin telah menjadi semakin rumit dan memerlukan penyelesaian komprehensif.

"Kita tidak boleh menyelesaikan satu masalah dan kemudiannya mendapati ia telah menimbulkan masalah lain.

"Dalam pada kita cuba membantu mereka yang memerlukan, kita mesti berusaha menghentikan aliran keluar pendatang ini dan memerangi jenayah rentas sempadan dan menghancurkan rangkaian mereka.

"Punca sebenar yang mendorong mereka ini untuk meninggalkan negara mereka juga perlu ditangani," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan