Siaran Televisyen Percuma, Mytv Masih Dalam Percubaan - Berita Semasa | mStar

Siaran Televisyen Percuma, Mytv Masih Dalam Percubaan

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 5:07 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Saluran televisyen percuma Malaysia yang dijadual menggunakan sistem digital pada tahun ini, MYTV masih lagi dalam peringkat percubaan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Menurutnya pihak kementerian masih kekal dengan komitmen untuk melaksanakannya pada tahun ini dengan menggunakan stesen pemancar di beberapa kawasan di seluruh negara.

"Selepas tempoh percubaan ini berjaya dan kita puas hati, barulah kita mulakan siaran bermula di tiga negeri di Pantai Timur dahulu dan selepas itu, kita akan susurkan ke Sabah dan Sarawak sebelum ke seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Meraikan 1 juta Pelanggan NJOI dan pelancaran Saluran Hiburan Maya HD di sebuah pasar raya di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Astro Datuk Rohana Rozhan.

Menurut Jailani, MYTV yang menggunakan sistem digital akan membolehkan penonton menikmati gambar dan audio lebih berkualiti hasil pertukaran sistem analog sedia ada digunakan sekarang kepada perkhidmatan penyiaran 'Digital Terrestrial Television Broadcasting' (DTTB).

MYTV Broadcasting Sdn Bhd merupakan syarikat berteknologi tinggi di bawah firma telekomunikasi Kumpulan Altel Holdings kini bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTTB di Malaysia, menjadikannya infrastruktur DTTB pertama di negara ini.

Fasa pertama DTTB dijangka bermula di Kelantan, Terengganu dan Pahang meliputi 85 peratus populasi sementara fasa kedua menyasarkan 98 peratus populasi di seluruh negara.

Tags / Kata Kunci: Mytv , Digital , HD
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan