Jabatan Imigresen Adakan Sesi Khas Isu AP Pekerja Asing Dengan Agensi Lain

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 9:00 AM

farahadura

Farah Adura Hamidi.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen telah mengadakan sesi khas dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain berhubung urusan pekerja asing di negara ini pada Jumaat.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, pihaknya melihat keperluan mengadakan sesi tersebut berikutan penguatkuasaan terhadap pekerja asing bukan sahaja di bawah bidang kuasa jabatan itu tetapi turut melibatkan agensi-agensi lain seperti polis.

Ini kerana katanya, aspek penguatkuasaan telah dibangkitkan selepas meneliti beberapa isu yang timbul dalam proses pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian yang dikuatkuasakan sejak Januari lalu.

Tambah Farah Adura, sesi pertemuan itu akan memberi penerangan mengenai pelaksanaan sistem dalam talian bagi pembaharuan PLKS yang mempunyai kaitan secara langsung dengan agensi penguatkuasaan di seluruh negara.

"Salah satu cara yang kita lakukan adalah memperkenalkan penggunaan akuan penerimaan (AP) sebagai bukti pengesahan majikan telah membuat permohonan sementara menunggu pelekat PLKS yang baharu.

"Jadi, Jabatan Imigresen perlu mengadakan sesi 'engagement' dengan agensi penguatkuasaan lain terutama polis bagi mengelakkan sebarang salah faham berhubung penggunaan akuan penerimaan ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Portal berita ini pada Isnin lalu melaporkan mengenai permintaan Jabatan Imigresen supaya pihak berkuasa terutama polis tidak menahan pekerja asing yang mempunyai akuan penerimaan.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas berhubung isu sama mengesahkan akuan penerimaan adalah dokumen gantian yang sah sehingga pelekat PLKS yang baharu dikeluarkan kepada majikan untuk pekerja asing di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Khamis turut memberi jaminan untuk menyelesaikan kekeliruan berhubung isu penahanan pekerja asing ketika proses memperbaharui PLKS.

Sementara itu, Farah Adura berkata, sesi khas telah dirancang sejak Mac lalu dan baharu sahaja digerakkan mengikut zon selepas kerajaan mengumumkan proses pembaharuan PLKS dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya kecuali melibatkan kes-kes tertentu yang masih perlu dirujuk di kaunter imigresen.

"Kita dah buat sesi 'engagement' dengan agensi penguatkuasaan seperti polis di zon utara, selatan dan pantai timur dan kita akan meneruskannya di zon tengah serta Sabah dan Sarawak," katanya sambil menambah bahawa selain urusan PLKS secara dalam talian, sesi itu turut membabitkan penggunaan Kad Akuan Diri Pekerja Asing (i-Kad).

Menurut Farah Adura, walaupun penggunaan akuan penerimaan itu sebenarnya sudah dimaklumkan secara lisan dan bertulis kepada polis sebelum ini namun sesi 'engagement' berkenaan berperanan sebagai medium bagi penerangan, perbincangan termasuk diadakan sesi soal jawab.

Menerusi laporan portal berita ini beberapa pihak menyatakan kebimbangan berhubung isu penahanan pekerja asing dalam tempoh menunggu permit baharu selesai diproses, terutama majikan dan kedutaan asing.

Sejak Disember lalu sehingga April tahun ini, sebanyak 601,913 PLKS baharu dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 460,203 pas diperbaharui di kaunter imigresen dan 141,710 menerusi sistem dalam talian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan