Kabinet Diberi Taklimat 1MDB Hari Ini

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 7:25 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perdana Menteri dan Kabinetnya akan diberi maklumat terkini secara langsung berhubung kontroversi syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pembentangan akan dibuat oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada mesyuarat mingguan Kabinet, Jumaat.

Difahamkan satu dokumen khas yang mengandungi status hutang syarikat akan turut dibentangkan kepada Kabinet.

Sumber memberitahu The Star bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kabinetnya juga akan dimaklumkan mengenai perancangan bagaimana 1MDB dapat terus maju ke hadapan selepas berhadapan pelbagai kontroversi.

"Pelan ke hadapan adalah elemen penting bagi syarikat itu.

"Memang benar kita memerlukan maklumat mengenai status kewangan mereka tetapi bagaimana 1MDB akan bergerak, memenuhi sasarannya dan komited untuk berjalan dengan lancar dan cekap adalah sama penting," kata sumber berkenaan.

Pegawai 1MDB dijangka bersiap sedia untuk menjawab pertanyaan lanjut daripada barisan menteri.

Sumber berkata penyediaan dokumen khas untuk dibentangkan kepada Kaibinet mencerminkan komitmen Najib untuk menyelesaikan isu 1MDB.

"Ini adalah isyarat yang baik. Kita berharap ia dapat diselesaikan dan pihak pentadbir akan kembali menguruskan negara dengan baik khususnya mengenai Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)," kata sumber bekenaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pentadbiran Najib berhubung pelbagai perkara termasuk 1MDB.

Pada 4 Mac lalu, syarikat pelaburan negara itu dan juruauditnya Deloitte dipanggil untuk memberi taklimat kepada Kabinet mengenai keadaan terkini serta menjawab pelbagai persoalan daripada barisan menteri termasuk daripada Perdana Menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Najib Tun Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan