Arul Kanda Nafi Kemuka Penyata Bank Palsu

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2015 1:30 PM

Arul Kanda Kandasamy

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy pada Khamis tampil menafikan dakwaan telah mengemukakan dokumen palsu kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Ini suatu pembohongan. Saya tidak pernah memberikan sebarang penyata kepada Bank Negara.

"Jadi untuk mengatakan sebaliknya adalah ternyata palsu dan salah, termasuklah sebarang pertuduhan berhubung hal tersebut," kata Arul Kanda dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini portal Sarawak Report mendedahkan bahawa 1MDB didakwa memberikan penyata bank palsu berkaitan akaun anak syarikatnya kepada BSI Bank Limited Singapore (BSI).

Menurut laman sesawang pemberi maklumat itu, terdapat bukti yang menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB ‎mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi jawapan bertulis di Parlimen sebelum ini memberitahu bahawa baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak AS$1.1 (RM4.022) billion ditebus dalam bentuk wang tunai dan diuruskan oleh BSI.

Bagaimanapun Najib meminda kenyataannya dan menjelaskan bahawa baki pelaburan di BSI itu adalah dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.

Mengulas lanjut Arul Kanda meminta semua pihak menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kontroversi 1MDB.

"Siasatan itu nanti akan menjawab semua persoalan yang dibangkitkan terhadap syarikat ini.

"Kami harap semua pihak menunggu hasil siasatan bebas ini dan menahan diri daripada membuat tuduhan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berasas," katanya.

Tags / Kata Kunci: Arul Kanda Kandasamy , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan