Mansuh Caj, Tutup Kaunter Bagi Tangani Tohmahan - Imigresen

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketidakpuasan hati pelbagai pihak terhadap sistem dalam talian hingga membawa kepada pemansuhan caj RM38 untuk majikan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) membuktikan kesungguhan kerajaan menangani tohmahan dan dakwaan berkaitan perkhidmatan itu.

Ketetapan itu juga bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, banyak faktor yang menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menampung kos tersebut yang kini dikurangkan kepada RM35.
 
Menurutnya, antara yang diambil kira sebelum ketetapan memansuhkan caj itu dibuat termasuk tanggapan majikan yang menyifatkan caj itu membebankan, selain dakwaan mengenai masalah perkhidmatan kaunter dan isu integriti pegawai.

"Bila pembaharuan PLKS secara dalam talian dikuatkuasakan, ramai majikan yang tidak berpuas hati selepas perkhidmatan baharu itu dikenakan caj RM38.

“Rakyat Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk membayar bagi menggunakan perkhidmatan dalam talian tetapi kerajaan berusaha untuk menggalakkan penggunaannya.

“Sehubungan itu, kerajaan sedia menampung kos itu demi menyediakan perkhidmatan terbaik buat rakyat,” katanya dalam temuramah bersama mStar Online, baru-baru ini.

Sejak Disember tahun lalu sehingga April tahun ini, sebanyak 601,913 PLKS baharu dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 460,203 pas diperbaharui di kaunter imigresen dan 141,710 menerusi sistem dalam talian. 
 
Farah Adura berkata, caj itu mungkin bukan masalah buat syarikat kecil atau majikan yang mempunyai sedikit pekerja kerana melihat perkhidmatan dalam talian lebih mudah.
 
Bagaimanapun ia berbeza bagi syarikat yang mempunyai ramai pekerja yang memilih untuk pergi ke kaunter daripada perlu membayar RM38 untuk seorang pekerja.
 
Katanya, rakyat di kebanyakan negara membangun perlu membayar untuk mendapatkan perkhidmatan lebih baik seperti kaedah dalam talian.
 
"Sebagai contoh, permohonan permit pekerja asing di kebanyakan negara maju dilaksanakan secara dalam talian dan rakyat negara itu perlu membayar perkhidmatan," katanya.
 
Bulan lalu, Kabinet memutuskan untuk tidak mengenakan caj RM38 bagi memperbaharui PLKS secara dalam talian.
 
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan akan membiayai kadar perkhidmatan sebanyak RM35 yang dikenakan oleh penyedia perkhidmatan terbabit.
 
Sehubungan itu, bayaran proses pembaharuan PLKS kekal pada kadar RM125 yang sebelum ini dinaikkan daripada RM50 selepas disemak pada 1 April 2014.
 
Mengenai caj RM38 kepada RM35, Farah Adura berkata, caj tersebut dipersetujui antara kerajaan dan penyedia perkhidmatan berkenaan kerana penjimatan itu dapat disalurkan untuk perkara lain yang menjadi keutamaan untuk rakyat.
 
Susulan daripada itu, proses pembaharuan PLKS secara dalam talian dilaksanakan secara menyeluruh di Semenanjung mulai 2 Mei lalu.
 
Farah Adura berkata, kira-kira 60 peratus permohonan memperbaharui PLKS yang dibuat majikan di kaunter imigresen adalah pada saat akhir sehingga pekerja asing mereka berdepan dengan masalah pas tamat tempoh.
 
Sebaliknya, majikan menyalahkan Jabatan Imigresen yang didakwa lambat memproses permohonan PLKS walaupun mereka bertanggungjawab memperbaharuinya lebih awal selain mempunyai pilihan untuk melakukannya secara dalam talian.
 
Mengulas lanjut, Farah Adura berkata, pembaharuan PLKS perlu dibuat lebih awal dan bukannya 24 jam sebelum tamat tempoh.

Ini kerana katanya, hal berkaitan pemeriksaan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) mengambil masa dan majikan perlu membayar kompaun terlebih dahulu bagi pekerja asing tinggal lebih masa.

"Selain itu, proses memperbaharui pasport pekerja asing bagi segelintir negara mengambil masa sehingga tiga bulan kerana permohonan perlu dibuat di negara mereka seperti Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka," katanya sambil menambah tiga perkara tersebut disebabkan permohonan pada saat akhir.
 
Bagaimanapun katanya, jika majikan membuat permohonan secara dalam talian, mereka akan diberikan akuan penerimaan (AP), yang boleh diterima pakai sekiranya PLKS tamat tempoh sepanjang permohonan itu diproses.
 
Katanya lagi, selain dakwaan permohonan lambat diproses, terdapat majikan yang mendakwa ada pemohon yang datang kemudian tetapi permohonan mereka diproses dahulu  sehingga menimbulkan isu integriti.
 
"Hal itu hanya menjejaskan imej pegawai imigresen sedangkan terdapat majikan mahu 'membayar lebih' kerana mahu proses permohonan dipercepatkan," katanya sambil merujuk kepada persepsi masyarakat yang disebabkan oleh tindakan negatif majikan.

Sehubungan itu, katanya, pengumuman untuk menyediakan perkhidmatan memperbaharui PLKS dalam talian secara menyeluruh mulai 2 Mei lalu sudah sampai masanya kerana  ia dapat mengelakkan segala tohmahan dan persepsi negatif tersebut.
 
“Malah, sistem penyeragaman pembaharuan PLKS secara dalam talian dapat mengurangkan 50 peratus kesesakan di kaunter imigresen sekali gus tiada lagi aduan mengenai majikan terpaksa beratur panjang di kaunter dan kepayahan untuk mencari tempat parkir,” katanya sambil menambah bahawa keputusan itu merupakan inisiatif kerajaan memperkenalkan perkhidmatan lebih cekap dan pantas.

Tags / Kata Kunci: PLKS , Jabatan Imigresen , Farah Adura Hamidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan