Perjanjian Penamatan Yang 'Lebih Manis' Untuk Kakitangan MAS

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 8:31 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dalam perubahan yang dilakukan pada saat-saat akhir, lebih satu pertiga daripada 20,000 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) akan mendapat bayaran penamatan berdasarkan perjanjian bersama (CA).

Langkah itu membalikkan laporan sebelum ini bahawa bayaran yang akan diterima adalah kira-kira separuh daripada apa yang dinyatakan di bawah CA, sesuatu yang membuatkan kakitangan sangat tidak berpuas hati.

Ada yang menyatakan MAS telah tunduk kepada tekanan daripada kesatuan dan akhirnya akur dengan terma sedemikian, tetapi sumber yang rapat dengan perkara ini mendakwa 'mereka sentiasa berusaha untuk mengemukakan cadangan ini, tetapi kesatuan tidak tahu mengenainya'.

Tidak kira ia idea siapa, kesatuan nampaknya telah berjaya mencapai koridor kuasa untuk campur tangan sebelum keputusan untuk pakej pembayaran dibuat.

Pada Selasa, sembilan pemimpin kesatuan syarikat penerbangan itu telah diberitahu bahawa pembayaran kakitangan akan dibuat mengikut CA dan ini telah disambut dengan lebih ceria pada mesyuarat yang diadakan di MAS bersama badan induk syarikat penerbangan itu, Khazanah Nasional Bhd dan pegawai-pegawai MAS.

Sebahagian besar pekerja MAS adalah kesatuan sekerja.

"Ia adalah satu langkah yang dialu-alukan. Ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan dari segi politik dan moral dengan membayar mengikut CA. Itulah yang sepatutnya kita dapat dan apa yang kita berhak dapat.

"Nasib baik, mereka tidak menggunakan Akta MAS 2015 untuk memintas. Malangnya, tidak semua daripada kami akan diupah semula oleh MAS Bhd," kata seorang pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller, tidak hadir pada mesyuarat itu tetapi menghantar memo kepada kakitangan petang Selasa mendedahkan butiran terkini itu yang "selaras dengan komitmen Perdana Menteri bahawa penyusunan semula MAS mencerminkan keadilan, belas kasihan dan ketelusan".

MAS dijadualkan akan memberhentikan antara 6,000 dan 8,000 kakitangannya dalam tempoh setahun akan datang sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengecilkan syarikat penerbangan dengan memberi tumpuan di rantau ini.

Pembangunan semula syarikat penerbangan itu melibatkan pemindahan aset dan liabiliti MAS yang sedia ada kepada sebuah syarikat baharu yang dikenali sebagai MAS Bhd, yang akan menggaji semula dua-pertiga daripada tenaga kerja.

Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd akan diberikan satu bulan gaji pokok bagi setiap tahun perkhidmatan mereka sehingga 10 tahun perkhidmatan.

Mereka yang telah berkhidmat dengan MAS selama lebih dari 10 tahun akan mendapat 1.5 bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Memo itu berkata pekerja pengurusan kanan (Naib Presiden dan ke atas) dan mereka yang berkerja di bawah kontrak tidak tertakluk kepada terma tersebut.

Mereka yang menerima tawaran untuk menyertai MAS Bhd, akan ditawarkan bayaran daftar masuk dan jika mereka masih berkhidmat dengan MAS Bhd selepas 18 bulan, mereka akan mendapat bayaran pengekalan.

Khazanah pada mulanya memperuntukkan pembayaran RM1.66 bilion untuk kakitangannya tetapi setelah membayar mengikut CA, jumlah pembayaran menjadi lebih tinggi dengan beberapa cadangan bahawa ia mungkin mencecah setinggi RM2.4 bilion.

Disebabkan perubahan ini, 20,000 surat penamatan yang sepatutnya diagihkan pada Rabu oleh syarikat penerbangan itu tidak dapat diberikan seperti yang dirancang.

Tetapi MAS sedang berusaha untuk menghantarnya dalam tempoh beberapa hari akan datang. Mereka yang diambil berkerja semula mempunyai sehingga 12 Jun untuk menerima tawaran itu.

"Persatuan juga telah meminta empat tiket setiap tahun pada harga diskaun sebagai manfaat pesara dikekalkan tetapi pegawai-pegawai MAS berkata memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan mengenainya," kata sumber berkenaan.

Tags / Kata Kunci: MAS , penamatan pekerja MAS , CA MAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan