Pakatan Rakyat:Majlis Syura Digesa Nyata Pendirian

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2015 8:00 AM

Muhammad Faiz Fadzil

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menjelang Muktamar PAS Ke-61 minggu depan, Majlis Syura Ulama (MSU) diminta menyatakan pendirian badan itu secara terbuka berhubung kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Menerusi surat terbuka Muhammad Faiz Fadzil iaitu anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, beliau menuntut penjelasan berhubung dakwaan kononnya MSU sudah membuat ketetapan berhubung kerjasama parti tu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini adalah kerana dalam satu forum yang diadakan pada 24 Mei lalu, seorang ahli MSU telah menyatakan bahawa MSU telah membuat keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dan akan menyerahkan keputusan tersebut kepada Jawatankuasa PAS Pusat," katanya.

Beliau yang juga calon jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat pada pemilihan parti itu nanti berkata, kebimbangan yang dibangkitkannya juga dibuat berdasarkan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Malah kata Faiz, Timbalan Mursyidul PAS, Datuk Ahmad Yakob turut membuat kenyataan senada apabila memberitahu bahawa Hadi sudah berfikir panjang mengenai hubungan kedua-dua parti berkenaan.

Sehubungan itu, tegas Faiz, adalah wajar MSU menyatakan secara terbuka sekiranya badan itu sudah mempunyai ketetapan sama ada mahu PAS mengkaji semula kedudukan dalam Pakatan Rakyat ataupun memutuskan sebarang kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

"Jika betul memang wujud keputusan berkenaan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, bilakah keputusan tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat supaya satu ketetapan boleh dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat?

"Saya yakin berdasarkan Perlembagaan PAS, kedudukan parti dalam Pakatan Rakyat hanya boleh diputuskan dalam Muktamar PAS Pusat kerana ia badan tertinggi yang telah memutuskan penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan