Tiada Sebarang Maklumat Daripada MAS - Kesatuan

Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2015 9:28 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kesatuan pekerja syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu proses penstrukturan semula yang bakal menyaksikan kira-kira satu perempat daripada 20,000 tenaga kerja akan diberhentikan.

"Kami mengambil berat tentang cara ia dilakukan. Tiada sebarang perundingan atau jaminan ke atas nasib pekerja," kata Presiden Kesatuan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan (Nufam), Ismail Nasaruddin.

Dilaporkan bahawa penstrukturan semula MAS bakal menyaksikan syarikat penerbangan itu beroperasi dalam jumlah yang kecil iaitu seramai 14,000 kakitangan.

Beliau berkata syraikat itu perlu memberi maklumat terpeinci berhubung pelan penstrukturan semula.

"Kami dimaklumkan bahawa MAS akan menamatkan perkhidmatan kami dan bukannya mengurangkan pekerja.

"Jika dakwaan itu adalah benar, ia melanggar undang-undang buruh. MAS perlu telus dalam proses penstrukturan semula," kata Ismail.

"Kami juga diberitahu bahawa anak-anak syarikat MAS membuat keuntungan.

"Kami berharap pekerja di MASWings dan anak-anak syarikat yang lain tidak terjejas dengan penyusunan semula," katanya.

Pengerusi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) Malaysia, Tan Sri Zainal Rampak mencadangkan supaya proses pemberhentian kerja perlu bermula di peringkat pengurusan tertinggi.

"Jawatan bagi mereka yang ada di peringkat  atas perlu dikaji semula kerana mereka menelan kos yang lebih kepada syarikat," katanya.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu), Mohd Jabarullah Abdul Kadir berkata pihaknya akan mempertahankan hak pekerja selepas mereka menerima surat daripada pihak pengurusan.

"Hak-hak pekerja perlu dipertimbangkan kerana mereka adalah penyumbang utama kepada kemajuan MAS selama ini.

"Kami akan mengambil langkah seterusnya setelah mendapat gambaran yang lebih jelas daripada kakitangan MAS," katanya.

Tags / Kata Kunci: MAS , Maseu , Nufam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan