Prosiding 1MDB Babit CEO & Mantan CEO Ditangguh - PAC

Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2015 2:26 PM

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

KUALA LUMPUR: Prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dua pengurusan tertinggi syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu yang sepatutnya diadakan pada Selasa ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penangguhan itu berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan mantan CEO, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi tidak dapat hadir bagi memberi keterangan kepada jawatankuasa atas alasan berada di luar negara.

"Kita dimaklumkan daripada Kementerian Kewangan pada Jumaat lepas bahawa mereka hantar surat minta tangguh dan beri masa 30 hari kerana berada di luar negara.

"Penangguhan ini tidak bermakna prosiding akan dilewatkan tetapi kita minta mereka datang secepat mungkin untuk berikan keterangan," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, Isnin.

Nur Jazlan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh penangguhan 30 hari berkenaan sebaliknya ia adalah permintaan Arul dan Shahrul.

Beliau menambah, PAC mahu prosiding ini untuk mendapatkan keterangan CEO dan mantan CEO 1MDB supaya ia berjalan dengan teratur serta mempunyai kredibiliti yang tidak dipersoalkan sekiranya penjelasan dan maklumat yang diberikan tidak lengkap.

"Kita beri tempoh masa kepada mereka untuk bersedia dengan semua maklumat serta dokumen sebelum hadir memberi keterangan kepada PAC," katanya.

Menerusi mesyuarat pada Isnin, Nur Jazlan berkata, PAC memutuskan untuk  memanggil tiga firma audit 1MDB iaitu Deloitte, KPMG, Ernst & Young bagi memberikan keterangan kepada jawatankuasa itu sementara menunggu Arul dan Shahrul.

"Kita akan panggil Deloitte dahulu, lepas tu KPMG dan Ernst & Young, dalam turutan kita. PAC berharap dapat keluarkan surat untuk mereka datang dua atau tiga minggu lagi.

"Kita juga berharap kerjasama daripada firma audit 1MDB untuk datang beri keterangan," katanya.

Ditanya mengenai lembaga pengarah 1MDB, Nur Jazlan memberitahu bahawa kesemua mereka akan dipanggil kemudian untuk memberikan keterangan.

"Lembaga pengarah dalam senarai yang keempat. Mulanya, kita panggil kementerian terlibat dahulu, lepas tu CEO dan kemudian firma audit.

"Bila kita dah dapat testimoni daripada tiga yang pertama ini, barulah kita panggil lembaga pengarah dan menyoalkan apakah tanggungjawab mereka dalam keseluruhan proses 1MDB," katanya. 


Tags / Kata Kunci: 1MDB , PAC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan