Muhyiddin Gesa Tumpu Persediaan Serantau Hadapi Bencana

Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2015 11:54 PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Gempa bumi dahsyat yang menggegarkan Nepal baru-baru ini merupakan peringatan untuk memberi tumpuan terhadap persediaan  serantau dalam menghadapi bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kepantasan, kecekapan dan penyelarasan yang baik adalah penting dalam respons awal untuk meminimumkan kos ke atas manusia dan ekonomi akibat bencana.

"Memiliki pelan tindakan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan keberkesanan respons selepas bencana. Latihan pelan tindakan perlu kerap dilakukan. Jurang perlu dikenal pasti dan ditangani," katanya semasa merasmikan  Forum Serantau ASEAN-Latihan Bantuan Bencana 2015 (ARF DiREx) di sini Isnin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata oleh kerana impak dan kerumitan dalam respons terhadap setiap bencana adalah berbeza, adalah penting untuk terus menambah baik kaedahnya berdasarkan pengalaman yang dipelajari.

Menurutnya, negara-negara Asia Tenggara lebih berisiko dilanda bencana alam berbanding negara di Eropah dan Afrika kerana terletak di rantau yang terdedah kepada bencana alam.

Gempa bumi yang melanda Nepal bulan lepas, telah mengorbankan lebih 8,000 nyawa dan mencederakan beribu-ribu lagi.


Muhyiddin berkata, pada akhir tahun lepas, Malaysia mengalami bencana banjir paling buruk sejak 1971 yang melanda Kelantan, Pahang, Kedah dan Perak, menjejaskan setengah juta orang dan menyebabkan kerosakan dianggarkan bernilai RM2.8 bilion.

Banjir, kata Timbalan Perdana Menteri, benar-benar menguji Arahan No.20  Majlis Keselamatan Negara, yang mengawal selia dasar dan mekanisme pengurusan bencana di Malaysia.

Akibat banjir tahun lepas, kerajaan kini berusaha untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan berdasarkan pengalaman yang dipelajari dalam menghadapi halangan dan cabaran, katanya.

"Memandangkan peningkatan kekerapan dan magnitud banjir, kita mesti mengakui bahawa ia tidak lagi mencetuskan senario terpencil dan Malaysia suatu hari hari nanti perlu meminta bantuan antarabangsa," kata Muhyiddin.

Beliau berkata, keputusan untuk menjadi tuan rumah bersama ARF-DiREx 2015 dengan China adalah tepat dan sesuai kerana negara-negara mula mengkaji respons bencana besar-besaran dan pemulihan merangkumi bantuan antarabangsa.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ARF-DiREX ialah satu daripada latihan simulasi paling inklusif di rantau Asia Pasifik, membabitkan pelbagai agensi dari negara-negara ARF, pihak awam-tentera serta agensi-agensi bantuan kemanusiaan tempatan dan antarabangsa.

Isu-isu penyelarasan dan kerumitan struktur kemanusiaan antarabangsa seperti yang dilaksanakan di ARF DiREx mencerminkan situasi sebenar apabila bencana  melanda, katanya.

"Melalui latihan ini, negara-negara yang mengambil bahagian akan mengesahkan dan menambah baik instrumen antarabangsa dan serantau berkaitan dalam menghulurkan Bantuan Bencana Kemanusinaan (HADR),' katanya.

Muhyiddin berkata, latihan yang akan disertai oleh anggota mencari dan menyelamat daripada 22 negara, adalah berdasarkan senario 'hipotetikal' taufan melanda utara Semenanjung Malaysia.

Fokus utama ARF-DiREx, menurut beliau, adalah untuk menguji penyelarasan sivil-tentera dalam bantuan bencana, mewujudkan sinergi dan menyelaras usaha-usaha ke arah menyokong pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER).

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota Dewan Negara China Wang Yong yang bertanggungjawab bagi pengurusan bencana republik itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun DR Mahathir dan Menteri Besar Perlis Datuk Azlan Man.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan