Kes Culik: Malaysia Dan Filipina Perlu 'Duduk Semeja'

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mei 2015 2:20 PM

Restoran makanan laut Ocean King di Pasir Putih terletak di pinggir bandar Sandakan. Empat lelaki bersenjata menculik seorang wanita dan seorang lelaki dari restoran itu.

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Sudah tiba masanya pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa selatan Filipina 'duduk semeja' bagi membincangkan di peringkat tinggi pendekatan terbaik untuk menangani isu jenayah rentas sempadan, khususnya kes penculikan yang tidak berkesudahan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Pandangan itu diluahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Ruji Ubi yang berpendapat inisiatif baharu itu perlu memandangkan penjenayah yang menyusup masuk ke Sabah melalui perairan Esszone merupakan mereka yang berasal dari wilayah selatan Filipina.

"Pada ketika ini, kerjasama kedua-dua pihak antara pihak berkuasa Malaysia dan Filipina hanya tertumpu kepada pertukaran maklumat risikan sahaja.

"Ekoran kejadian penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan baru-baru ini terdapat keperluan untuk memperluas kerjasama ini secara holistik, termasuk mengadakan perbincangan meja bulat dan kawalan perairan koordinasi bersama di wilayah sempadan perairan Esszone dan laut Sulu (selatan Filipina)," katanya.

Ruji berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan futsal terbuka lelaki Piala Komander Esscom di Gelanggang Futsal Dynason, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah Pusat Operasi Esscom Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail, Pengarah Bahagian Keurusetiaan Esscom Newmond Tibin dan Pengarah Bahagian Tindakan Awam Esscom Wan Mohd Khalid Wan Kamal.

Ruji yakin dengan adanya kerjasama yang menyeluruh akan dapat menghasilkan satu resolusi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Saya melihat ini merupakan mekanisme baharu yang perlu diteroka atau direalisasikan dalam usaha kita memikirkan sesuatu inisiatif di luar kelaziman...kedua-dua pihak perlu ada keseriusan dalam hal ini," katanya.

Ruji berharap pihak berkuasa Filipina dapat menimbang cadangan itu demi kebaikan bersama, sekali gus memastikan kawasan Esszone bebas daripada jenayah penculikan.

Pada Khamis lepas, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik dua mangsa seorang lelaki dan wanita dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu. Seorang lagi mangsa ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

Sementara itu, Ruji meminta komuniti Esszone, termasuk golongan belia supaya terus memberi sokongan kepada Esscom, terutama dari segi penyaluran maklumat kepada pasukan keselamatan.

Beliau turut mengingatkan mereka agar tidak melindungi dan bersekongkol dengan pendatang tanpa izin (PATI), sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa kehadiran PATI di kawasan masing-masing.

Mengenai kejohanan futsal Piala Komander Esscom, Ruji berkata ia bermatlamat mengeratkan hubungan silaturahim selain menjadi medan untuk memperjelas isu-isu semasa mengenai keselamatan di Esszone.

Ruji berkata kejohanan itu akan diadakan di daerah lain di Esszone secara berperingkat.

Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Tags / Kata Kunci: Malaysia , Lahad Datu , Culik , Filipina

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan