Suhaizan Bimbang

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2015 12:38 PM

Suhaizan yang dicabar Nik Abduh akan mempertahankan jawatannya sejak 18 bulan lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menjelang pemilihan parti bulan depan, Suhaizan Kayat bimbang memikirkan peluangnya untuk mempertahankan kedudukannya selaku Ketua Pemuda PAS Pusat.

Mengakui wujud dua aliran pemikiran dalam PAS, Suhaizan berkata, beliau berhadapan masalah jika perwakilan membuat pertimbangan berdasarkan sentimen serta penilaian yang tidak rasional.

“Dalam PAS ada dua kumpulan atau aliran pemikiran. Pertamanya yang hanya melihat ‘by block’ iaitu apa sahaja yang dibuat…mereka akan sokong.

“Keduanya adalah ahli yang rasional iaitu mereka akan buat keputusan berdasarkan merit, sumbangan. Kalau perwakilan buat pertimbangan secara rasional…insyaAllah saya ada sedikit kelebihan.

“Namun kalau perwakilan buat penilaian berdasarkan ‘by block dan dicampur dengan sentimen, itu saya kena surrender…saya perlu bimbang,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Pemilihan Pemuda PAS Pusat kali ini menyaksikan Suhaizan bakal ditentang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Kebimbangan yang disuarakan Suhaizan itu kerana beliau kini  terbabit dalam pertembungan antara golongan ulama dan profesional yang sering menjadi polemik dalam PAS.

Mengenai tawaran Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur yang mahu menyediakan pentas dialog kepada calon, Suhaizan menyatakan kesediaannya untuk berhadapan pencabarnya itu.

Menurut Suhaizan, beliau terbuka untuk menyertai majlis dialog atau wacana secara terbuka bagi memberi ruang kepada calon bertanding menyatakan perancangan dan agenda masing-masing.

“Wacana sememangnya baik kerana ia boleh memberi penerangan dan penjelasan kepada ahli dan perwakilan secara sihat dan berkesan, selain  membuka ruang kepada mereka membuat penilaian terhadap bakal pemimpin yang akan dipilih,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan akar umbi terhadapnya, Suhaizan mengakui menerima maklum balas yang baik mengenai hasratnya untuk mempertahankan jawatan.

“Tapi kalau melihat kepada prestasi, tempoh 18 bulan yang diberikan kepada saya adalah terlalu pendek. Banyak lagi usaha dan perancangan yang boleh dilakukan sekiranya diberikan peluang lagi.

“Masih terdapat agenda yang perlu diselesaikan dalam memenuhi aspirasi anak muda,” katanya.





iklan

Kolumnis

iklan

Iklan