Guru Kafa Desak Naik Elaun RM200 Pertikai Pemecatan

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2015 7:46 PM

Ekhsan Bukharee dihalang daripada memasuki bangunan SUK di Shah Alam pada April lalu.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) Selangor mempertikai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memecatnya berikutan beliau mendesak kenaikan elaun RM200 bagi golongan pendidik berkenaan.

Guru tersebut Ekhsan Bukharee Badrul Hisham mempersoalkan perkara itu kerana menganggap pemecatan tersebut disebabkan tindakannya membela nasib guru-guru Kafa.

"Jais tidak beri saya ruang untuk membela diri ataupun kemukakan rayuan terhadap pemecatan tersebut. Jika ada, pastinya saya akan merayu," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya beliau menerima surat pemecatan daripada Jais yang bertarikh 14 Mei itu Rabu lepas dan arahan pemecatan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Sementara itu Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan berkata penamatan perkhidmatan Ekhsan Bukharee adalah disebabkan beliau telah melanggar perjanjian pelantikan guru Kafa.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, kerajaan gabungan DAP, PAS dan PKR dalam manifesto mereka berjanji menaikkan elaun guru Kafa di Selangor daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kelewatan kenaikan elaun itu disebabkan perkara tersebut masih dalam kajian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan