RMK11 Fokus Tingkatkan Akses Rakyat Kepada Perumahan Mampu Milik

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2015 12:41 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 606,000 buah rumah akan dibina untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebagai usaha meningkatkan akses rakyat kepada perumahan mampu milik yang berkualiti.

Selain itu, kerajaan juga menyasarkan untuk membina atau membaiki 47,000 buah rumah untuk isi rumah miskin yang akan dilaksanakan bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Menurut RMK11 bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Khamis, bank tanah akan diwujudkan untuk pembangunan perumahan mampu milik terutama di kawasan bandar, bagi menambah baik perancangan dan pembangunan perumahan mampu milik.

Malah, kerajaan akan turut memanfaatkan kerjasama antara Jabatan Perumahan Negara dengan Majlis Agama Islam Negeri bagi mengenal pasti tanah wakaf dan baitulmal yang berpotensi untuk dibangunkan.

Dokumen pembangunan lima tahun itu turut menggariskan pembentukan satu pangkalan data bersepadu yang boleh dicapai oleh semua pihak berkepentingan untuk memastikan penawaran rumah-rumah mampu milik dipadankan dengan permintaan mengikut tempat, harga dan kumpulan sasar.

Berdasarkan Teras Strategik 'Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat' itu, kerajaan akan meneruskan program-program sedia ada yang telah berjaya dalam memenuhi keperluan perumahan untuk golongan sasar di kawasan bandar dan luar bandar.

Ia termasuk Program Bantuan Perumahan (PBR) untuk golongan miskin, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, serta program perumahan untuk generasi kedua peneroka Felda dan Felcra.

Teras yang sama turut memberi perhatian kepada kumpulan sasaran seperti generasi muda melalui pembinaan rumah-rumah transit di kawasan bandar untuk belia dan pasangan berkahwin termasuk di bawah program Bandar Belia 1Malaysia.

"Rumah transit ini menyediakan kediaman sementara kepada keluarga berkenaan bagi membolehkan mereka menabung untuk membeli rumah pertama mereka.

"Sektor swasta akan digalakkan untuk membangunkan perumahan awam yang boleh dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta," kata laporan itu.

Menurutnya, kadar sewa perumahan awam akan dikaji semula bagi memastikan dana yang mencukupi untuk menampung kos pengurusan dan penyenggaraan perumahan awam yang standard.

Pembangunan semua perumahan mampu milik yang baharu juga akan digalakkan untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang mesra alam sekitar dan berdaya huni untuk rakyat, termasuk OKU dan warga emas.

Tags / Kata Kunci: perumahan mampu milik , RMK11

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan