Sekolah Daif, Puad Zarkashi Label Muhyiddin Pemalas

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2015 9:33 PM

Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya dituduh pemalas oleh bekas timbalan menteri kementerian berkenaan, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi yang kesal masih terdapat sekolah dan asrama daif di negara ini.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah untuk menjalankan tugas, termasuk pihak menteri yang didakwanya malas membuat tinjauan.

Selain Muhyiddin, kementerian tersebut mempunyai seorang lagi menteri iaitu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, manakala timbalan menteri pula, ialah Datuk Mary Yap dan P. Kamalanathan.

Mohd Puad yang tewas dalam pilihan raya umum yang lalu tetapi baru sahaja dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) beberapa minggu lalu bagi mengantikan Datuk Fuad Hassan yang meninggal dunia, membuat tuduhan tersebut selepas menerima beberapa gambar yang menunjukkan kedaifan sebuah sekolah di Keningau, Sabah.

"Masih belum terbela. Ada orang posting pada saya gambar sebuah sekolah di Keningau yang terlalu daif.

"Puncanya pegawai yang bertanggungjawab tidak turun ke bawah. Kenapa mereka tidak turun ke bawah? Kerana Menteri dan Timbalan Menteri juga malas turun ke bawah. Justeru, mereka tidak akan tahu apa yang berlaku di bawah," beliau menulis di laman Facebooknya, Khamis.

Menurut Puad yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno itu, situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk meningkatkan kualiti dalam pendidikan.

Sekali lagi Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri yang kini memasuki penggal kedua menggalas tanggungjawab sebagai menteri pendidikan dibidas, kerana hingga kini nasib sekolah-sekolah di pedalaman masih belum terbela.

"Kerajaan belanja berbilion untuk 1 Bestarinet, tetapi apakah disiasat keberkesanannya. Itu belum lagi dipaparkan asrama dan rumah guru yang daif di kawasan pedalaman.

"Sepatutnya bila TPM jadi menteri pelajaran hampir dua penggal, maka cepatlah terbela sekolah-sekolah daif terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak. Turunlah ke bawah! Jangan banggakan PPPM kalau level playing field masih tidak sama," tulisnya.

Dalam pada itu, beliau turut menulis di ruangan komen bahawa beliau telah melawat ke hampir 70 peratus sekolah di kawasan pedalaman dalam tempoh tiga tahun ketika menjadi timbalan menteri dahulu.

"Ada sekolah, saya berjalan kaki lapan jam untuk samapai iaitu SK Saliliran di Nabawan Sabah.

"Semua sekolah pulau juga saya sampai. Pulau Bum Bum, Pulau Sebatek, Pulau Banggi, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Shanghai. Walaupun tanpa kemudahan helikopter," katanya yang turut membalas komen orang ramai dengan menyarankan supaya perkara seperti itu dilapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menjawab komen salah seorang pengikutnya yang simpati dengan apa yang berlaku, beliau menjawab: "Tuan akan lebih sedih kalau tengok sendiri. Saya pernah jumpa SK Buayan di Panampang yang condong hampir menyembah bumi. Penduduk kampung terpaksa guna buluh untuk menahan sekolah itu dari rebah. Saya perlu 2 jam berjalan kaki untuk sampai ke sekolah tersebut. Alhamdulillah sekolah baru sudah siap. Saya difahamkan sekarang sudah ada jalan balak untuk sampai ke sana."

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan