Sasaran Makro Ekonomi Di Bawah RMK11 Bertambah Baik

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2015 3:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedudukan fiskal kerajaan persekutuan dijangka lebih baik semasa Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)(2016-2020) dengan defisit fiskal yang lebih mengecil ke arah berimbang berikutan hasil yang lebih tinggi. 

Kadar defisit dijangka turun mewakili 0.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tempoh RMK11 berbanding sasaran kadar defisit 3.2 peratus pada akhir RMK10 (2011-2015), menuju ke arah status negara maju dalam pencapaian Wawasan 2020.

RMK11 bertema "Pertumbuhan berpaksikan rakyat" yang disediakan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada Khamis.

Terdahulu, satu taklimat media telah diadakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengenai rancangan lima tahun tersebut serta sasaran-sasaran makro ekonomi berbanding pencapaian rancangan-rancangan sebelumnya.

Dalam RMK11, hasil dijangka bertambah 7.9 peratus setahun dan menjangkau 1,407.9 bilion berbanding RM1,050.2 bilion dengan pertumbuhan 6.9 setahun pada RMK10 (2011-2015), berikutan kesan penuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun terjejas akibat harga minyak mentah yang lebih rendah.

Perbelanjaan mengurus pula bersederhana pada RM1,289.9 bilion untuk RMK11 berdasarkan perbelanjaan berhemat dengan pertumbuhan 6.4 peratus setahun  berbanding RM1,031.4 bilion atau pertumbuhan tahunan 7.0 peratus pada tempoh sebelumnya.

Pada tempoh tersebut, perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM260 bilion berbanding RM223.6 bilion pada RMK10 sejajar dengan keperluan untuk mengekalkan keluaran potensi.

Berikutan itu imbangan keseluruhan adalah pada defisit sebanyak RM136.5 bilion atau 0.6 peratus daripada KDNK pada akhir tempoh tersebut berbanding defisit RM197.5 bilion atau 3.2 peratus daripada KDNK pada akhir tempoh RMK10.

Sementara itu, hutang kerajaan persekutuan pula sebanyak RM774 bilion adalah 43.5 peratus kepada KDNK pada akhir 2020 berbanding RM622.7 bilion atau 53.3 peratus daripada KDNK pada akhir 2015.

Pada tempoh RMK11, kerajaan akan mengukuhkan daya tahan ekonomi makro untuk meningkatkan pertumbuhan tersebut di mana fleksibiliti dasar fiskal juga akan ditingkatkan untuk memastikan kedudukan fiskal yang mampan.

Antara lain, kerajaan akan meningkatkan potensi produktiviti bagi memastikan pertumbuhan mampan dan inklusif, menggalakkan pelaburan untuk menerajui pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan eksport untuk menambah baik imbangan perdagangan.

Pada tempoh RMK11, sektor swasta masih memainkan peranan sebagai peneraju aktiviti ekonomi dengan purata pelaburan swasta benar dijangka berkembang 9.4 peratus dengan nilai sebanyak RM291 bilion pada harga semasa.

Peningkatan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan pelaburan awam yang dijangka tumbuh pada purata 2.7 peratus dengan nilai pelaburan sebanyak RM131 bilion.

Dari segi penggunaan, purata pertumbuhan bagi sektor swasta akan meningkat 6.4 peratus berbanding 3.7 peratus purata pertumbuhan penggunaan awam.

Antara sasaran makro ekonomi yang lain adalah dari segi perdagangan antarabangsa, di mana eksport kasar dijangka tumbuh 4.6 peratus dengan imbangan perdagangan sebanyak RM5.73 bilion pada 2020 sementara akaun semasa bagi imbangan pembayaran menyumbang 2.6 peratus kepada Produk Negara Kasar (PNK) pada 2020.

Dari segi kedudukan fiskal, jumlah hutang kerajaan persekutuan disasar di bawah paras 45 peratus daripada KDNK dengan kedudukan fiskal dijangka berimbang pada 2020.

Pada tempoh tersebut juga, KDNK disasarkan berkembang sebanyak 5.0-6.0 peratus dengan didorong oleh produktiviti, malah mampu mengembang sehingga 5.9 peratus sekiranya potensi sumber-sumber berjaya digunakan sepenuhnya.

Pada RMK10, pertumbuhan KDNK adalah sebanyak 5.3 peratus, tersasar daripada unjuran terdahulu sebanyak 6.0 peratus disebabkan pelbagai cabaran ekonomi pada tempoh tersebut.

Oleh itu, pada tempoh RMK11, pertumbuhan akan dipacu oleh permintaan domestik dengan peningkatan sumbangan daripada sektor luaran.

Fokus adalah kepada pelaburan swasta yang berkualiti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Pelaburan awam dan swasta akan didorong oleh projek infrastruktur seperti kereta api berkelajuan tinggi, Transit Aliran Massa (MRT2), Transit Aliran Ringan (LRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo.

Penggunaan swasta pula akan meningkat selaras dengan kemakmuran negara manakala penggunaan awam meningkat sederhana berikutan langkah perbelanjaan berhemat.

Pada RMK11, pelaburan meningkat 7.2 peratus dan menyumbang 28.6 peratus kepada KDNK berbanding dengan 26.8 peratus kepada KDNK pada RMK10.

Penggunaan pula meningkat 5.9 peratus pada RMK11 dan merupakan 65.3 peratus daraipada KDNK berbanding pertumbuhan 6.8 peratus pada RMK10 dan merupakan 65.1 peratus daripada KDNK.

Bagi sektor luaran, eksport merangkumi 62 peratus daripada KDNK, menurun daripada 74.4 peratus pada RMK10.

Dari segi aktiviti ekonomi pula, sektor pembuatan dan perkhidmatan akan meneraju pertumbuhan.

Sektor pembuatan dijangka meningkat 5.1 peratus pada tempoh RMK11 berbanding 4.8 peratus pada RMK10 manakala sektor perkhidmatan naik 6.9 peratus berbanding 6.3 peratus.

Sektor pertanian pula disasar meningkat 3.5 peratus pada RMK11 berbanding 2.4 peratus pada RMK10 dan perlombongan naik 1.3 peratus berbanding 0.9 peratus tetapi sektor pembinaan pula agak perlahan pada 10.3 peratus pada tempoh RMK11 berbanding 11.1 peratus pada RMK10.

Kesemua sektor ekonomi disasarkan lebih kukuh disokong oleh peningkatan produktiviti, aktiviti nilai tambah dan berteraskan pengetahuan serta permintaan yang kukuh daripada sektor domestik dan luaran.

Sementara itu akaun semasa imbangan pembayaran akan kekal mencatat lebihan berikutan prestasi yang lebih baik bagi akaun barangan dan perkhidmatan.

Ini termasuk sasaran eksport yang lebih tinggi bagi barangan kompleks dan perkhidmatan moden, integrasi yang lebih kukuh melalui perjanjian perdagangan serantau dan usaha pengantarabangsaan pembekal barangan.

Sementara itu, peningkatan dalam akaun pendapatan primer adalah disebabkan inisiatif menggalakkan pelaburan semula pendapatan daripada pelaburan langsung asing (FDI) yang disasarkan serta ekosistem yang komprehensif dan kondusif untuk pelaburan baru.

Akhirnya, sasaran negara berpendapatan tinggi juga akan dicapai pada 2020 dengan PNK per kapita sebanyak AS$15,690 (RM54,100) pada 2020 berbanding AS$10,196 (RM36,937) pada akhir 2015.

Tags / Kata Kunci: RMK11

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan