Selepas MyEG/VDR, Satu Lagi Kontroversi Bakal Muncul

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2015 7:22 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas kontroversi pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian dan peningkatan kos Visa Dengan Rujukan (VDR), kini timbul pula isu baharu membabitkan pekerja asing di negara ini menerusi sistem Tapisan Keselamatan Imigresen (ISC) yang dijangka dilaksanakan Jun ini.

Sistem yang mengenakan caj RM105 ini akan diwajibkan untuk setiap permohonan pekerja asing Indonesia, India, Bangladesh, Filipina dan Vietnam sebagai usaha bagi meningkatkan langkah keselamatan. 

Jika pelaksanaannya diteruskan, majikan terpaksa menanggung kos sebanyak RM355, merangkumi kadar baharu VDR iaitu RM250 dan RM105 untuk ISC.

Dikendalikan pihak ketiga, majikan perlu memastikan semua bakal pekerja asing melalui proses ISC sebagai langkah pertama dan hanya boleh meneruskan dengan proses pengambilan pekerja asing jika lulus di peringkat ISC.

Pada masa sama, setiap permohonan VDR perlu disertakan dokumen ISC sebagai salah satu syarat wajib permohonan pengambilan pekerja asing.

Pendedahan berhubung pelaksanaan ISC dibuat 21 persatuan pekerja asing dan majikan serta pihak kedutaan asing di negara ini yang tampil membantah caj tambahan berkenaan yang akan dikenakan kepada majikan dan pekerja asing.


Timbalan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Teo Chiang Kok (tengah duduk) antara yang hadir pada sidang media, Khamis.

Menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Khamis, pelaksanaan ‘pemeriksaan keselamatan’ itu disifatkan tidak logik kerana ia dilakukan selepas selesai proses menyeluruh bagi pengeluaran visa dan lebih penting selepas kesemua bayaran dibuat.

Semua pihak berkepentingan itu juga mempersoalkan keperluan ISC kerana pemeriksaan biometrik dan saringan keselamatan adalah sebahagian daripada tugas Jabatan Imigresen dan data berkenaan dapat diperoleh daripada bahagian keselamatan jabatan berkenaan.

Sambil menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan negara, persatuan berkenaan menegaskan bahawa pihak Imigresen tidak seharusnya ‘menyerahkan’ bank data yang mempunyai maklumat sulit itu kepada pihak ketiga yang merupakan syarikat swasta untuk mengendalikannya.

“Seperti kes MyEG bagi pelaksanaan pembaharuan PLKS, sekiranya Jabatan Imigresen membuat keputusan untuk menyerahkan urusannya kepada pihak luar, syarikat yang dilantik sepatutnya berperanan sebagai penyedia perkhidmatan bagi operasi ‘back-room’.

“Caj tidak sepatutnya dikenakan kepada majikan mahupun pekerja asing memandangkan perjanjian itu merupakan kontrak perkhidmatan yang disediakan Imigresen bersama pihak berkenaan, di mana kos itu seharusnya ditanggung pihak Imigresen,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, timbul kontroversi berhubung pengambilan pekerja asing apabila majikan dikenakan caj RM38 bagi memperbaharui PLKS, namun kerajaan kemudiannya mengumumkan menanggung kos itu dengan kadar baharu RM35, selepas mendapat banyak rungutan dan bantahan pelbagai pihak sejak sistem dalam talian MyEG Services Bhd (MyEG) dikuatkuasakan Januari lalu.

Mengenai VDR pula, kadar itu naik dari RM15 kepada RM250 sehingga Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), penyedia Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) dikaitkan sebagai syarikat yang bertanggungjawab bagi kenaikan kadar terlalu tinggi untuk pemprosesan visa untuk pekerja Indonesia.

Dua modul utama di bawah FWCMS iaitu bio-perubatan dan permohonan secara elektronik (eVDR) yang berkuatkuasa pada 15 Januari lalu kemudian diumum penangguhannya bagi meneliti serta memperhalusi dasar berkaitan, termasuk mengkaji semula maklum balas orang ramai, khususnya majikan.

Mustafa menunjukkan pengumuman Jabatan Imigresen mengenai pelaksanaan ISC sebagai syarat wajib permohonan pekerja asing.

Sementara itu, Atase Tenaga Kerja Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Mustafa Kamal dalam satu pertemuan dengan mStar Online pada Khamis berkata, pihaknya bimbang caj itu akan menjejaskan peluang rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.

Ini kerana katanya, caj yang bakal dikenakan kepada majikan yang mahu mengambil pekerja dari republik itu merupakan pertambahan kepada kos sedia ada seperti kos dokumen perjalanan, pengangkutan dan pemeriksaan kesihatan.

“Menurut Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pekerja asing tidak boleh dikenakan bayaran bagi proses pengambilan mereka, sebaliknya kos itu perlu ditanggung oleh majikan.

“Majikan pula akan menanggung kos yang lebih akibat pertambahan ini yang membebankan mereka untuk mengambil pekerja asing,” katanya.

Menurut Mustafa, bebanan itu akan menyebabkan majikan menggunakannya sebagai alasan untuk mengurangkan atau memotong gaji pekerja asing.

“Majikan baru sahaja dibebani dengan kenaikan caj pengeluaran VDR dari RM15 kepada RM250. Nanti pula ada caj ISC iaitu RM105 dengan jumlah keseluruhan RM355.

“Kami (KBRI) tidak mahu sebarang caj baharu yang akhirnya akan memberi kesan kepada pekerja rakyat kami yang mahu bekerja di negara ini,” kata Mustafa.

Beliau menambah, sama ada pekerja Indonesia atau pekerja asing negara lain, masing-masing datang ke Malaysia dengan niat untuk mencari kehidupan lebih baik dan bukan mahu berhadapan dengan keadaan yang semakin menyukarkan.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak berkuasa Malaysia mempertimbangkan perkara ini dan mencari penyelesaian terbaik supaya tiada masalah atau kesulitan yang berlaku dalam pengambilan pekerja asing di sini,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 1.3 juta pekerja Indonesia di Malaysia pada 2014. 

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan