SPR Belum Terima Notis Arahan Adakan Semula Persempadanan Sarawak

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 5:37 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima notis rasmi daripada Mahkamah Tinggi Kuching berhubung arahan bagi mengadakan semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebarang tindakan lanjut yang akan diambil oleh SPR hanya akan diputuskan selepas suruhanjaya itu menerima notis berkenaan.

"Masih tak dapat lagi (notis) itu. Ia mungkin lama kerana mereka (mahkamah) kena tulis penghakiman itu betul-betul," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Pada 15 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Yew Jen Kie mengarahkan SPR agar mengeluarkan semula notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak dengan mematuhi peruntukan dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana hakim mendapati terdapat kekurangan maklumat penting dalam notis bertarikh 5 Jan bagi orang ramai yang terlibat untuk membuat keputusan.

SPR mula mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah itu pada 5 Jan hingga 4 Feb lepas di beberapa tempat di negeri itu.

Berikutan keputusan mahkamah itu, SPR perlu mengadakan semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak. 

Tags / Kata Kunci: SPR , Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan