Mahu Filipina Lebih Serius, KPN Akan Terus Bincang Isu Tangani Jenayah Rentas Sempadan

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 5:06 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau akan membincangkan lagi isu mengatasi jenayah rentas sempadan dengan rakan sejawatnya dari Filipina dalam pertemuan mereka kelak.

Walaupun isu keselamatan berkenaan sudah ditimbulkan dalam mesyuarat dua hala dan pelbagai hala termasuk dengan negara Filipina dan Indonesia termasuk dari aspek pertukaran maklumat risikan namun ia belum mencukupi dalam usaha mengekang insiden penculikan di Sabah daripada berulang, katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenaikan pangkat secara anumerta untuk Allahyarham Razkan Seran, pengawal peribadi Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyeh, Selangor, pada 4 April lepas.

Pada majlis berkenaan Allahyarham dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan dan sijil kenaikan pangkatnya itu disampaikan oleh Khalid kepada balu arwah, Setinurafeni Andu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Khalid berkata pihak Filipina diharap dapat bersama-sama membantu membantu Malaysia mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dengan membanteras kumpulan penjenayah rentas sempadan yang berpangkalan di selatan Filipina.

Beliau berkata penjenayah rentas sempadan dari selatan Filipina sering menggunakan pulau-pulau di selatan negara itu sebagai pangkalan untuk merancang dan melancarkan kegiatan jenayah di Sabah sekali gus menimbulkan ancaman keselamatan kepada Malaysia.

"Kita pun faham sempadan mereka juga rapuh dengan bilangan pulau yang banyak. Tapi saya rasa sudah sampai masanya kumpulan-kumpulan (penjenayah rentas sempadan) ini yang bertindak melakukan jenayah di negara kita ini diberi perhatian dan diambil tindakan yang sekeras-kerasnya.

Apa bentuk tindakan di pihak mereka, saya serahkan kepada mereka tetapi kita ingin melihat sesuatu tindakan yang benar-benar memberi impak supaya kumpulan ini tidak terus menerus menjadikan rakyat negara kita sebagai sasaran, juga pelancong-pelancong yang datang ke negara kita sebagai sasaran," katanya.

Mengenai kenyataannya sebelum ini yang mencadangkan supaya sistem perdagangan tukar barang di Sabah dihapuskan, Khalid berkata penjenayah rentas sempadan berselindung di sebalik perdagangan tukar barang berkenaan untuk menyusup masuk ke negara ini dan menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Katanya bukan sahaja sistem perdagangan tukar barang berkenaan yang perlu dihapuskan malah hubungan ekonomi atau dagangan rakyat selatan negara berkenaan dengan Sabah juga perlu diteliti semula kerana bagi pihak keselamatan,  keselamatan rakyat dan negara ini perlu diberi keutamaan.

"Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan cadangan saya tetapi saya melihat keselamatan rakyat dan negara kita yang diancam berterusan oleh pihak ini (lebih utama). Mereka perlu mendesak kumpulan haram ini daripada meneruskan aktiviti mereka," katanya.

Khalid juga berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan keberkesanan pelaksanaan perintah berkurung di pantai timur Sabah kerana sempadan perairan sepanjang lebih 1,700 kilometer berkenaan masih dibolosi unsur-unsur jenayah dan pihaknya akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan lagi keberkesanan sistem itu.

Katanya antara yang mungkin perlu diberi perhatian ialah mengenai menetapkan penggunaan kelas bot pada waktu-waktu tertentu di kawasan-kawasan tertentu.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan