ISM Bukan Usaha Bermusim

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 2:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang dilancarkan dalam usaha mengukur dan menilai tahap keseriusan usaha kerajaan dalam mencapai Maqasid Syariah merupakan usaha berterusan dan bukan bersifat bermusim, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebagai usaha permulaan, selepas penubuhan Jawatankuasa Tadbir Urus ISM, satu profil korporat telah dilancar pada 14 Mei lalu bagi menerangkan secara umum mengenai ISM.

"Profil ini akan diedarkan kepada semua pihak yang terlibat dalam penyelidikan ISM, seterusnya beberapa perancangan yang bersifat strategik secara berfasa yang melibatkan pelbagai peringkat pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat awam serta saluran media sedang diatur Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya pemahaman lebih jelas tentang ISM dapat diberikan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Emeryati Samsudin (BN-Masjid Tanah) apakah usaha kerajaan bagi memastikan ISM merupakan projek berterusan dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Berhubung usaha kerajaan bagi memastikan ISM difahami sepenuhnya oleh masyarakat dan menjadi negara contoh, beliau berkata program pencerahan dan penerangan akan diadakan dari semasa ke semasa supaya masyarakat berpengetahuan dan tidak dipengaruhi persepsi kurang tepat.

"ISM juga adalah untuk menjelaskan salah faham segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan bahawa sistem pentadbiran negara selama ini tidak mengikut prinsip-prinsip Islam.

"Langkah ini juga diharap dapat membuka mata negara-negara Islam yang lain bahawa Malaysia serius dalam melaksanakan prinsip syariah dalam pentadbiran negara untuk kesejahteraan rakyatnya," kata Jamil Khir.

Pada 10 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan ISM yang merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.

Indeks pertama seumpamanya yang pernah dibangunkan di dunia itu akan menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.

Tags / Kata Kunci: ISM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan