Kami Tak Akan Patah Balik, Kami Mahu Ke Malaysia - Pelarian Rohingya

Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 10:29 AM

Pelarian Rohingya yang tiba di Indonesia dengan bot menunggu sarapan pagi di kawasan sementara bagi pelarian di kampung Kuala Cangkoi, Lhoksukon, Aceh. -foto REUTERS

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Pelarian Rohingya, Umai Somida, 15, dan dua adiknya hanya ada satu rancangan, iaitu mahu pergi ke Malaysia dan bersatu kembali dengan dua abang mereka yang berkerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur.

Keputusan tiga beradik ini, yang dua lagi berusia 13 dan 11 tahun untuk pergi ke Malaysia telah dibuat pada tahun 2012 apabila ibu bapa mereka terbunuh dalam serangan perusuh di kampung mereka di Lolbina, kawasan Maungdaw, di Myanmar.

"Mereka datang pada waktu malam," kata Umai kepada The Straits Times di Kuala Langsa di Aceh.

"Kami bersembunyi untuk mengelakkan serangan. Mereka menoreh kerongkong ibu bapa kami," katanya.

Lebih daripada 600 pelarian Rohingya dan Bangladesh telah tinggal di sini selepas mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan di luar perairan pantai timur pulau Sumatera pada malam Khamis lepas.

Seorang abang mereka telah bekerja di Malaysia selama tujuh tahun dan seorang lagi,lima tahun.

Sejak tahun 2012, kedua-dua abang kanak-kanak pelarian ini menabung untuk membiayai jumlah yang perlu dibayar terhadap rancangan adik mereka untuk lari dari Myanmar ke Malaysia, iaitu sebanyak AS$2,000 (RM7,166) setiap seorang.

Kanak-kanak tersebut, bersama-sama dengan beratus-ratus pendatang Rohingya dan Bangladesh yang lain tidak berjaya memasuki Malaysia apabila enjin bot mereka terhenti di Aceh selepas lebih dua bulan berada di laut.

"Kami hanya mahu pergi ke Malaysia. Kami tidak mahu berpatah balik. Kami juga tidak mahu tinggal di Aceh," kata Umai.

Dia dan dua adiknya adalah antara pelarian di Kuala Langsa yang tidak mahu berganjak daripada pelan asal mereka untuk datang ke Malaysia.

Terdapat kira-kira 900 pelarian Rohingya, kebanyakannya di Aceh, dan lebih daripada lebih 400 warga Bangladesh, kebanyakannya di Kuala Langsa.

Laksamana Tentera Laut Diraja Thai, Somchai Na Bangchang berkata pendatang di atas bot yang ditemui di luar pantai Thailand Khamis lepas tidak mahu mendarat di Thailand. Sebaliknya, mereka mahu pergi ke Malaysia atau Indonesia, lapor Reuters.

Pelarian Rohingya di Aceh masih mempunyai peluang untuk pergi ke Malaysia, tetapi pelarian Bangladesh berdepan dengan penghantaran balik sebagai pendatang haram.

Pegawai Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Jakarta memberitahu The Straits Times: "Pelarian Rohingya tidak dapat dibawa pulang ke rumah mereka".

"Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara, jadi UNHCR akan mendaftar semua mereka sebagai status pelarian dan memproses kes mereka dan cuba untuk mencari penyelesaian sementara untuk mereka di Indonesia."

Duta Bangladesh ke Indonesia Md Nazmul Quaunine pada Ahad berjanji untuk bekerja dengan kerajaan tempatan dan UNHCR bagi memudahkan penghantaran balik.

Walau bagaimanapun, sesetengah di antara mereka, seperti Muhammad Syafirullah Salim, 36, tidak mahu pulang.

Penjaga masjid, yang memperoleh pendapatan RM500 sebulan itu telah meninggalkan isteri dan dua orang anak perempuan yang masih kecil untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di Malaysia.

Perjalanan bot, yang menelan belanja AS$2,500 (RM8,957), hampir kesemuanya dibiayai oleh ibunya yang menjual tanah.

"Kami miskin. Saya sudah tidak ada wang. Saya tiada apa-apa lagi di sana. Mengapa saya mesti balik ke rumah?" katanya kepada The Straits Times.

Seorang pelarian Rohingya, Sokutara, 24, yang merupakan ibu kepada empat anak lelaki berkata dia akan tinggal di Aceh atau mana-mana sahaja tempat yang selamat.

Dengan bantuan daripada seorang penduduk tempatan yang melawat kem itu, dia bercakap dengan suaminya yang berada di Malaysia melalui telefon.

Sokutara memberitahu The Straits Times: "Saya tidak akan menaiki bot yang bahaya itu lagi. Suami saya menyuruh saya tinggal di mana sahaja tempat selamat, sama ada di Indonesia atau mana-mana negara.

"Dia akan datang untuk tinggal dengan kami."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan