Muhyiddin Lancar Projek Golf Tunas Bestari Untuk Generasi Muda

Diterbitkan: Ahad, 17 Mei 2015 3:35 PM

Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin Yassin

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Projek Golf Tunas Bestari, inisiatif TSM Charity Golf, khusus untuk memberi peluang kepada generasi muda kurang berkemampuan mengasah bakat dalam sukan itu.

Muhyiddin yang juga penaung TSM Charity Golf berkata menerusi projek itu,  mereka yang berminat dan mempunyai bakat dalam sukan berkenaan tidak perlu mengeluarkan belanja untuk menyertai sukan berkenaan yang dianggap sebagai sukan yang mahal.

"Ini adalah inisiatif baharu oleh TSM Charity Golf untuk melahirkan bakat-bakat dan tunas-tunas muda dalam kalangan anak-anak kita, yang sama ada berada dalam sistem persekolahan ataupun di luar.

"Program ini akan beri peluang kepada mereka (golongan tidak berkemampuan) untuk bermain golf, iaitu satu sukan yang kita tahu agak mahal sedikit dengan alat-alatnya untuk dibeli dengan harga yang agak tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek berkenaan dan DRB-Hicom TSM Golf Challenge 2015 di Kelab Golf Glenmarie  and  Country di sini, Ahad.

Timbalan Perdana Menteri berkata, TSM Charity Golf akan melantik jurulatih golf bertauliah dalam tempoh terdekat untuk Projek Golf Tunas Bestari.

Menerusi projek berkenaan, Muhyiddin berkata TSM Golf Charity Golf akan  mengumpul set golf terpakai yang diterima daripada orang ramai dan diletakkan di Kelab Golf Glenmarie untuk kegunaan individu terpilih daripada golongan tidak berkemampuan untuk bermain golf.

"Sebab itu, kita ucap terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dalam TSM  Charity Golf yang telah memulakan dan memberikan sumbangan golf set yang sudah dipakai tetapi boleh digunakan dan masih dalam keadaan baik.

"Setidak-tidaknya ia memberikan ruang kepada anak-anak kita untuk  menggunakan alat set ini," kata Muhyiddin yang turut menyumbang sebuah set golf terpakai miliknya.

Sementara itu, Pengerusi Acara DRB-Hicom TSM Golf Challenge 2015 yang juga penyelaras Projek Golf Tunas Bestari Datuk Wan Shalihuddin Wan Ibrahim berkata, projek itu dijangka bermula pertengahan tahun ini dengan tumpuan khusus kepada pelajar lepasan sekolah bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat.

"Projek ini hanya terbuka kepada individu daripada golongan yang tidak berkemampuan yang berusia bawah 21 tahun ke bawah (sahaja). Setelah kita mencapai sasaran set golf yang ditetapkan, projek ini akan dikembangkan ke luar Lembah Klang," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut diraikan bersempena hari jadi ke-68 beliau  pada Jumaat lepas, dengan dihadiahi sebiji kek hari jadi dan pulut kuning daripada Presiden TSM Charity Golf Tan Sri Effendi Norwawi. -- Bernama 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan