RMK-11, RUU Antipemerdagangan Manusia Tumpuan Sesi Kedua Dewan Rakyat

Diterbitkan: Ahad, 17 Mei 2015 12:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bakal menjadi tumpuan utama mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-13 yang bermula pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan rancangan penbangunan lima tahun negara itu, yang akan bermula 2016 dan berakhir pada 2020, pada Khamis ini.

RMK-11 adalah penting kerana ia akan menjadi transformasi terakhir dalam matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, dan dijangka menggariskan projek-projek berimpak tinggi.

Perbahasan mengenai RMK-11 dijangka mengambil masa enam hari mulai 25 Mei diikuti dengan jawapan daripada menteri-menteri selama tiga hari bermula 10 Jun ini, menurut portal Parlimen Malaysia.

Persidangan pada Isnin ini akan dimulakan dengan upacara angkat sumpah oleh dua anggota Parlimen yang baharu dipilih pada pilihan raya kecil Parlimen Rompin dan Parlimen Permatang Pauh iaitu Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh).

Hasan menggantikan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih pada April lepas, dan Dr Wan Azizah pula menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Februari lepas atas kesalahan meliwat bekas pembantunya tujuh tahun lepas.

Dr Wan Azizah, yang telah dipersetujui oleh parti-parti pembangkang untuk dipilih sebagai Ketua Pembangkang, dan pelantikan itu dijangka diumumkan pada hari pertama persidangan Isnin.

Sementara itu, sebanyak lapan Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Antara yang dijangka mencuri perhatian ialah RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015, berikutan insiden bot haram yang membawa 1,158 ethnik Rohingya dan warga Bangladesh mendarat di Langkawi Ahad lepas.

RUU lain yang turut akan dibentang untuk bacaan kali kedua ialah RUU Kebajikan Haiwan 2015, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan)(No.2) 2014.

Menurut Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, sebanyak 1,425 soalan lisan dan 545 soalan bertulis telah dikemukakan untuk sidang kali ini.

Sesi mesyuarat kedua persidangan kali ini akan berlangsung selama 16 hari, dan dewan akan berehat selama empat hari dari 1 hingga 4 Jun bersempena cuti perayaan Hari Gawai.

Sidang dewan akan bersambung semula dari 8 Jun hingga 18 Jun dari Isnin hingga Khamis dari 10 pagi hingga 5.30 petang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan