Tidak Perlu Undang-Undang Persendirian Tangani Pornografi - Nancy Shukri

Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 8:39 PM

Nancy Shukri.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Buat masa ini, tiada keperluan untuk mempunyai undang-undang persendirian untuk menangani pornografi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

"Buat masa ini, kita mempunyai undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan untuk menangani kes-kes sedemikian," kata Nancy yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Nancy menjawab gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan berita sabitan Nur Fitri Azmeer Nordin di United Kingdom kerana memiliki pornografi kanak-kanak.

Sebuah NGO, Wanita Ikram, menggesa kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus untuk menyekat pornografi di Malaysia.

Dalam kempen antipornografi yang dilancarkan Ahad lepas, ia juga berharap kerajaan akan melihat dengan serius berhubung peraturan lebih ketat ke atas pemilikan dan pengedaran bahan-bahan pornografi.

Bagaimanapun, berhubung pedofilia, Nancy berkata sudah tiba masanya untuk meneliti undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak untuk membuat pindaan yang perlu jika diperlukan.

Berhubung keputusan membebaskan pesalah rogol membabitkan kanak-kanak di bawah umur, Nancy yang melahirkan rasa sedih berhubung keputusan itu meminta kerajaan memohon satu semakan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan.

Bunya Jalong, 60, dibebaskan Khamis lepas selepas Mahkamah Rayuan mendapati empat sabitan rogolnya "tidak kukuh".

Dia disabitkan kesalahan itu pada tahun 2013 kerana merogol seorang gadis berusia 15 tahun pada Mei, Jun, Julai dan Ogos 2011 di sebuah hotel di Sibu.

Mangsa itu mengandung dan melahirkan seorang bayi di Hospital Sibu pada 5 Februari 2012.

"Jika ada sebarang kelemahan dalam undang-undang kita, sudah tiba masanya untuk pindaan yang perlu dilakukan," katanya.

Nancy berkata beliau secara peribadi mengambilnya sebagai satu tanggungjawab untuk memastikan undang-undang ini dipinda untuk disesuaikan dengan keperluan semasa masyarakat.

"Kerajaan sebenarnya merangka pindaan kepada undang-undang yang berkaitan," katanya.

Berikutan perkembangan terbaru itu, beliau berkata, pindaan seterusnya nampak perlu memandangkan pelbagai agensi kerajaan mengkaji dengan serius undang-undang lain yang berkaitan, membabitkan bahan-bahan lucah termasuk pornografi melibatkan orang muda dan kanak-kanak.

Berhubung penubuhan sebuah pendaftaran bagi pesalah seks, Nancy yang menyokong cadangan itu berkata kajian mendalam mengenai cara pendaftaran itu akan dilakukan dan disenggarakan perlu dijalankan.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai Akta Pendaftaran bagi Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 di mana rogol, seks oral atau liwat dengan kerelaan dimasukkan.

Ia tidak termasuk orang yang disabitkan atas kesalahan seks oral atau liwat tanpa kerelaan.

Nancy berkata mahkamah juga boleh memerintahkan seseorang yang mempunyai sabitan sebelum ini untuk diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih tiga tahun, bermula sebaik sahaja tamat tempoh hukuman yang dijatuhkan ke atasnya
Tags / Kata Kunci: Nancy Shukri , pornografi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan