Hospital Malaysia Di Barisan Hadapan Perangi AMR - Subramaniam

Diterbitkan: Selasa, 12 Mei 2015 10:20 PM

Dr S.Subramaniam.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Hospital di Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi Rintangan Antimikrobial (AMR), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata AMR merupakan ancaman terhadap kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan utama di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Penyebaran pantas AMR menyebabkan sistem penjagaan kesihatan berdepan dengan cabaran dan ancaman serius terhadap keupayaan mereka untuk secara efektif merawat jangkitan kuman yang teruk," katanya dalam ucap tama pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Mengenai AMR 2015 dan pelancaran Edisi Kedua Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan di sini Selasa.

Beliau berkata usaha yang sedang dijalankan di peringkat serantau dan global telahpun dilaksanakan sejak lebih 28 tahun lepas, termasuk meluluskan pelbagai resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia untuk membendung resistensi antimikrob.

Perlunya tindakan segera untuk memerangi AMR sekali lagi diberi perhatian pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-67 pada 2014, kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan adalah panduan bagi profesional penjagaan kesihatan untuk mengamalkan amalan baik dalam mengeluarkan preskripsi.

Orang ramai tidak sepatutnya mendesak doktor untuk memberikan antibiotik kerana rawatan bagi kebanyakan kes jangkitan dialami pesakit luar seperti batuk dan selesema adalah disebabkan oleh virus dan antibiotik tidak efektif terhadap virus, kata Dr Subramaniam.

"Nasihat patut diberikan kepada pesakit supaya mendapatkan preskripsi doktor jika mereka meminta antibiotik," katanya.

Tags / Kata Kunci: Dr S.Subramaniam , AMR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan