Nahas Helikopter: Ahli Keluarga Dr Hasrul Terkejut, Bimbang

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 8:59 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli keluarga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Pakistan, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar yang terlibat dalam insiden helikoper terhempas bimbang tentang keadaannya yang dilaporkan mengalami kecederaan.

Mereka kini menantikan perkembangan kejadian helikopter tentera yang membawa Dr Hasrul, isterinya, Datin Habibah Mahmud, diplomat asing serta isteri mereka yang terhempas di Lembah Naltar, awal pagi Jumaat.

Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar mengesahkan Dr Hasrul menerima rawatan di Hospital Gilgit, Pakistan, manakala isterinya meninggal dunia.

Menurut anak saudara Dr Hasrul, Khairunnisa Dottie Khairuddin, berita mengenai kemalangan itu mengejutkan ahli keluarga mereka.

"Malahan, sepupu saya (anak Dr Hasrul) tidak tahu mengenainya apabila saya maklumkan kejadian itu kepada mereka.

"Ketika ini, kami masih menunggu berita terkini tetapi kami mendapat tahu emak saudara saya, Habibah yang juga berada dalam helikopter itu meninggal dunia.

"Kami juga tidak tahu tahap kecederaan yang dialami bapa saudara saya, ketika ini kami hanya menunggu berita dan berdoa," katanya ketika dihubungi.

Menurut Wisma Putra, punca kejadian itu sedang disiasat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan