Hukuman Penjara Anwar Faktor Kemenangan - Wan Azizah

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 9:55 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui hukuman penjara terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi antara faktor kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Malah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, kejayaan mempertahankan kerusi berkenaan juga membuktikan bahawa Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara masih relevan.

"Ternyata pemenjaraan bermotifkan politik terhadap Anwar, menzahirkan simpati yang tinggi dan ianya adalah bukti bahawa beliau masih relevan kepada rakyat.

"Kemenangan ini, bukan hanya kemenangan PKR sahaja. Tetapi ianya adalah kemenangan rakyat, yang menentang kezaliman Barisan Nasional (BN) terhadap saudara Anwar Ibrahim dan ianya merupakan suatu referendum rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa," katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan memenangi PRK Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 8,841 undi selepas mendapat 30,310 undi.

Sementara itu calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin mendapat 21,475 undi manakala calon Bebas, Salleh Isahak (367) dan calon Parti Rakyat Malaysia (RPM), Azman Shah Othman (101).

Mengulas lanjut Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan undi khususnya di kalangan pengundi Melayu.

"PRK kali ini menyaksikan peningkatan undi kepada PKR sekitar empat hingga lima peratus daripada kalangan masyarakat Melayu, khususnya anak-anak muda.

"Kemenangan hari ini adalah bukti bahawa rakyat, khususnya pengundi-pengundi di Permatang Pauh, mahukan sebuah Pakatan Rakyat yang kuat," katnya.

Sementara itu dalam nada sebak, Dr Wan Azizah turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Permatang Pauh kerana menerima beliau untuk kembali berkhidmat di kawasan itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Anwar  hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Tags / Kata Kunci: BN , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan