SPR Kesal Sikap Agresif Penyokong Parti Politik Di Permatang Pauh - Berita Semasa | mStar

SPR Kesal Sikap Agresif Penyokong Parti Politik Di Permatang Pauh

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 3:33 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan sikap agresif penyokong parti politik hingga mencemarkan susana Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sikap agresif kumpulan penyokong sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN) juga menyebabkan pihaknya terpaksa membatalkan lawatan ke beberapa pusat mengundi.

Menurut beliau, suana di beberapa pusat mengundi boleh dianggap membimbangkan sehingga pihak polis menasihatkan supaya SPR tidak membuat tinjauan seperti kebiasaannya.

"Saya pergi ke sebuah sekolah sahaja, kami rancang untuk pergi ke empat sekolah. Kita dapat maklumat bahawa tidak begitu sesuai untuk pergi ke sekolah yang dijadualkan kerana penyokong-penyokong parti dari kedua-dua belah pihak agresif.

"Pihak polis nasihatkan SPR untuk tidak pergi ke sekolah-sekolah berkenaan. Saya juga dimaklumkan ada beberapa sekolah yang lain berlaku perkara yang tidak diingini seperti membaling kerusi, caci-mencaci dan ancaman kepada pihak yang lain," katanya pada sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di sini, Khamis.

Sebelum ini Abdul Aziz dan pasukan petugas SPR yang lain dijadual melawat pusat mengundi di SMK Pauh Jaya, SJKC Lay Keow dan SK Permatang Tok Kandu.

Selain itu Abdul Aziz turut menyifatkan penyokong kedua-dua parti politik yang bertanding terlalu beremosi demi meraih undi pada saat-saat akhir.

"Di sini bukan sahaja agresif, malah mereka terlalu emosi sehinggakan ditempat yang tidak ramai orang pun tadi pun di 'boo' juga.

"Ini bukan budaya kita. Ada juga penyokong yang soal siasat kami, mereka takut kami jadi pengundi bawa kertas undi. Sedangkan apa yang kami buat ini sudah menjadi budaya SPR, kita akan lawat sekolah ke sekolah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Permatang Pauh , PKR , BN , SPR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan