Simple Sifir Bantu Pelajar Mengira Dengan Pantas

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 5:36 PM

Dr Siti Hasmah diberi taklimat mengenai kaedah sifir mudah menerusi Simple Sifir semasa pelancaran buku itu di Putrajaya, Khamis.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Buku Simple Sifir dilancarkan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Khamis bagi membantu pelajar menguasai mata pelajaran sifir dengan pantas, mudah dan berkesan.

Dihasilkan jurulatih pengukuhan ingatan, Lim Teck Hoe, buku dwibahasa itu mengandungi cara mempelajari jadual sifir melalui penggunaan kaedah ingatan, pemikiran secara jujukan dan logikal, nilai motivasi intrinsik dan pengekodan warna bagi mempelajari sifir dengan pantas.

Siti Hasmah, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, menegaskan pentingnya matematik dalam kehidupan manusia termasuk untuk membaca odometer, mengira wang dan membuat keputusan strategik dalam kehidupan.

"Kita menggunakan matematik sebelum dilahirkan hinggalah meninggal dunia. Segalanya memerlukan kiraan daripada memantau kadar degup jantung fetus hinggalah kepada untuk menentukan saiz lubang kubur.

"Matematik adalah alat penting yang boleh menentukan kejayaan dalam kehidupan," katanya di sini.

Sementara itu, Teck Hoe memberitahu pemberita bahawa buku itu dihasilkan dalam bentuk mudah bagi membantu pelajar terutamanya di peringkat sekolah rendah untuk mempelajari asas jadual sifir dengan mudah.

"Kajian saya mendapati bahawa pelajar Tahun Dua di Terengganu mampu menguasai jadual sifir 1-12 hanya dalam masa 10 jam berbanding tempoh waktu sedia ada iaitu lebih kurang setahun," katanya.

Sambil mengharapkan buku itu diterima baik oleh para pendidik, ibu bapa dan pelajar, Lim berkata pasukannya sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan tentang kemungkinan buku itu dijadikan bahan rujukan di sekolah.

Buku setebal 73 halaman itu yang berharga RM28 senaskhah boleh didapati di kedai buku di seluruh negara.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan