Kaunseling, Pemulihan Untuk Nur Fitri, Ibu Bapa & Keluarga - Rohani

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 5:26 PM

Datuk Seri Rohani Abd Karim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia menawarkan khidmat kaunseling kepada Nur Fitri Azmeer Nordin, ibu bapa serta keluarganya jika mereka memerlukannya.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abd Karim berkata, walaupun didapati bersalah memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak, dari satu aspek pelajar berusia 23 tahun itu dilihat mempunyai 'penyakit' yang perlu dipulihkan.

"Kita ada kaunselor terlatih jika mereka memerlukannya. Jika mereka datang kepada kita, bantuan akan diberikan.

"Bukan untuk Nur Fitri sahaja, tapi untuk keluarga dan ibu bapanya yang mungkin malu dan trauma dengan apa yang telah berlaku," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Buku Happy Meal Mc'Donalds di sini, Khamis.

Menurut Rohani, Nur Fitri perlu dibantu, termasuk menjalani proses pemulihan walaupun setelah selesai menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan kerana dia dianggap 'sakit'.

"Orang sakit tak boleh sebebasnya. Dia patut menyesal, belajar daripada kesilapan dan perlukan kaunseling," katanya.

Sambil menyatakan rasa terkilan dengan kejadian ini, beliau berkata, ibu bapa atau ahli keluarga Nur Fitri juga perlu melakukan sesuatu memandangkan pelajar di Imperial College, London itu adalah seorang yang bijak.

Katanya, kaunseling yang ditawarkan adalah lebih bersifat 'pemulihan' bukan untuk mengecam.

Difahamkan, berdasarkan tinjauan media, rumah keluarga Nur Fitri di Kampar, Perak, kosong tanpa penghuni.

"Ibu bapa tolong buat sesuatu. Anak ini sangat bijak tapi pada masa sama, salah tetap salah dan bersalah tetap bersalah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Rohani turut mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi tingkah laku anak-anak, khususnya yang sering leka bersama komputer.

Katanya, sebagai ibu bapa, mereka boleh melihat kecenderungan anak mereka.

"Jika seharian mereka di depan komputer, ibu bapa mesti ada perasaan ingin tahu apa yang membuatkan anak mereka leka," katanya.

Pelajar Malaysia yang tiba di UK pada tahun lalu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang matematik di Imperial College selepas memperoleh biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah United Kingdom kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak.




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan