Raja Payung Kedaulatan Negara, Wajib Beri Naungan Saksama Kepada Setiap Warga

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 2:29 PM

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan mengaminkan bacaan doa pada Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah, Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Raja pemerintah adalah payung kedaulatan negara dan baginda wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama, demikian titah Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

"Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian, demi memastikan peranan takhta diterima baik, ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan," titah baginda pada istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV di Balairung Seri, Istana Iskandariah di sini, Rabu.

Sultan Nazrin Shah bertitah kekuatan sesebuah negara amat dipengaruhi oleh tahap 'amal makruf' yang dilakukan serta ketegasan negara memerangi kemungkaran.

"Ia adalah mutiara berharga, penentu kepada kerukunan dan kemakmuran. Mutiara ini jika telah terbenam, ia wajib dicungkil semula; mutiara ini perlu digarap," titah baginda.

Baginda juga bertitah keluhuran institusi raja perlu dipelihara daripada sebarang penodaan agar rakyat jelata kekal setia.

"Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting diperingatkan semula kisah perit hikayat lama, betapa akibat fitnah, betapa kerana hasad dengki, takhta telah disalah pengaruh.

"Tercetus sengketa antara dua saudara yang sebangsa, seagama, seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri, yang tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, berpinang dan bergambir sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah institusi raja bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua.

Takhta pemerintahan, titah baginda, bukan sekadar ornamen hiasan kerana pemerintahan berpaksikan raja termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Negara.

Sultan Nazrin Shah bertitah sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan raja kerana Malaysia mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

Baginda bertitah ini bermakna negara Malaysia telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah.

"Oleh itu, takhta perlu bertenaga, bersifat dinamik lagi meyakinkan, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan dalam landskap politik yang semakin memperlihatkan unsur-unsur perpecahan, yang semakin mengancam keharmonian hubungan antara agama, antara kaum.

"Istiadat pagi ini melambangkan citra untuk terus mendaulatkan institusi raja, satu pelanjutan adat, satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi.

"Betapa keindahan adat, betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa sekali gus mengekalkan identiti satu tamadun pemerintahan, negeri beraja, rakyat bersultan, yang telah sekian lama berakhir dalam sistem berkerajaan dan bernegara di bumi ini," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah beberapa pengubahsuaian berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baharu yang menghapuskan konsepsi lama yang menganggap raja sebagai 'penjelmaan tuhan di bumi'.

Baginda bertitah berdasarkan konsepsi baharu ini, raja hanya bertaraf 'khalifah' di bumi ini dengan sifat-sifat kemanusiaan.

"Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah kuasa Raja tidak boleh dipertikaikan selagi tidak memperlihatkan sifat menyeleweng dan selagi Raja mematuhi hukum yang telah termaktub.

Baginda bertitah undang-undang Melaka menggariskan bahawa martabat seorang Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab manakala Raja Ali Haji dalam 'Tuhfat al Nafis' menyatakan fungsi utama Raja adalah untuk menjunjung hukum Allah dan krisis akan terjadi jika perintah Allah diingkari dan apabila Raja memerintah dengan nafsu.

"Raja diperingatkan akan pentingnya keadilan, akan pentingnya hari kebangkitan, akan pentingnya tanggungjawab sesama ummah.

"Prinsip kesetiaan rakyat kepada Raja yang berpaksikan keadilan tidak mengizinkan Raja mengamalkan sifat 'Bersultan di mata, Beraja di hati," katanya.

Baginda juga bertitah sebagai Sultan yang baharu diamanahkan menakhodai bahtera negeri, masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

Sultan Nazrin Shah bertitah era kegemilangan sesuatu pemerintahan tercipta apabila pemimpin menghormati ulama dan menghargai ilmuwan yang berani menyuarakan yang hak dan tegas menentang yang batil.

"Lalu Raja mendapat nasihat tepat, dilindungi dari tersasar arah. Era kecemerlangan sesuatu pemerintahan dipengaruhi oleh khidmat tulus lagi murni para umara yang teguh imannya, kukuh prinsipnya, bersifat amanah, jujur dan ikhlas; pada setiap masa mendaulatkan undang-undang dan sama sekali tidak akan bersekutu melakukan perkara mungkar," titah baginda. -- Bernama



iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan