PM Ucap Tahniah BN Menang PRK Rompin

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 9:36 AM

Ketua Penyelarasan Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (depan, dua kanan) bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (tiga kiri) menjulang tangan Anggota Parlimen Rompin yang baharu Datuk Hasan Arifin selepas memenangi PRK Rompin dengan menewaskan calon PAS Nazri Ahmad di sini Selasa malam.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kiri) dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (depan,kanan).


(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin atas kejayaan BN mengekalkan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung, Selasa.

"Tahniah Datuk Hasan Arifin atas kemenangan di PRK Rompin. Hidup Barisan Nasional!," kata Najib yang juga Pengerusi BN dalam catatan di laman Twitternya.

BN mengekalkan kerusi itu dengan meraih majoriti 8,895 undi.

Hasan, 62, meraih 23,796 undi berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, yang memperoleh 14,901 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Allahyarham Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: PRK Rompin , BN , Hasan Ariffin , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan