BN Hilang Majoriti Di Rompin Kerana GST, Peningkatan Kos Sara Hidup - Dr M

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 4:12 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang meningkat antara faktor Barisan Nasional (BN) hilang majoriti di Rompin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menafikan dirinya mempengaruhi penurunan majoriti BN dan berkata isu yang saling berkait rapat itu benar-benar membebankan orang ramai.

"Saya bukan faktor.

"Orang-orang di Rompin lebih mengambil berat tentang isu-isu seperti GST dan kos sara hidup.

"Isu-isu seperti 1MDB tidak memberi makna kepada orang kampung, mereka tidak tahu mengenainya. Mereka tidak dapat bayangkan pun berapa banyak RM42 bilion, bagi mereka RM1 juta atau RM1 bilion adalah sama.

"Bagaimanapun, kuasa beli rakyat menjadi lebih rendah hari ini, dan ia ditambah lagi dengan GST, yang mengurangkan pendapatan mereka," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas berucap pada Wacana Perdana Siri ke-19 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan BN mempunyai sesuatu yang boleh dipelajari dari Rompin, terutama mengenai nasib rakyat.

"Meningkatkan gaji minimum untuk menyelesaikan masalah ini mungkin menyebabkan kos sara hidup naik. Kerajaan perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan dan Rompin telah mengajar mereka," katanya.

BN memenangi PRK Rompin pada Selasa, tetapi dengan majoriti berkurangan berbanding pilihan raya umum lepas.

Mengenai peluang BN dalam PRK Pauh, Dr Mahathir berkata, Pakatan Rakyat akan menang dengan majoriti yang lebih sedikit dengan berlaku perbalahan dalaman.

"Saya fikir sukar untuk BN menang, walaupun pembangkang berbalah.

"Pembangkang masih akan menang, tetapi dengan margin yang lebih kecil," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan